fbpx

Mahkamah: Representasi Sharnaaz gugur pertuduhan diketahui 5 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharnaaz diiringi peguamnya ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang lelaki di sini, hari ini. -Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 5 Mei bagi mengetahui status representasi pelakon Sharnaaz Ahmad untuk menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lalu.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menetapkan tarikh itu selepas peguam Mohamed Baharuden Mohamed Ariff yang mewakili Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Pihak pembelaan akan menghantar representasi itu kepada AGC. Oleh demikian, kami memohon satu tarikh untuk kami menghantar representasi tersebut dan menunggu keputusan (representasi) itu,” katanya.

Peguam itu berkata demikian semasa sebutan kes itu di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan pihaknya telah menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan hari ini dan perkara itu disahkan oleh peguam Mohamed Baharuden.

Sementara itu Abu Bakar ketika ditemui berkata pihaknya akan memfailkan representasi itu dalam masa dua minggu selepas meneliti segala dokumen berkaitan pertuduhan tersebut.

“Pihak kami akan memfailkan representasi itu dan draf representasi telah pun siap. Pihak kami antaranya memohon agar pertuduhan digugurkan atau memohon satu bon untuk anak guam jika dibenarkan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pelakon drama “Suamiku Encik Sotong” itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas di sini pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tahun lalu media melaporkan, seorang pelakon lelaki berusia 30-an direman selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium di Segambut, di sini pada Jun tahun lalu.

Pelakon yang mendiami kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang mangsa selepas rakan mangsa yang hendak menghantar minyak masak dilarang memasuki kawasan kondominium berkenaan oleh pengawal keselamatan di situ.

Kejadian dipercayai berlaku selepas berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan pengawal keselamatan sebelum pelakon terbabit datang secara tiba-tiba dan memukul mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI