KUALA LUMPUR – Selepas 24 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli yang didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM).
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd. Azmi semasa prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.
Menurut Ahmad Feisal, pendakwaan bertindak menutup kes selepas pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Ahyar Salleh Hudin ,40, yang merupakan saksi pendakwaan ke-24 yang juga saksi terakhir selesai memberi keterangan.
Hakim Rozina kemudian memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 4 April manakala hujahan balas atau klarifikasi pada 6 April sebelum memutuskan sama ada Rozman dibebaskan daripada pertuduhan itu atau diperintahkan untuk membela diri.
Bagaimanapun, tarikh keputusan di akhir kes pendakwaan akan ditetapkan kemudian oleh mahkamah.
Pada prosiding hari ini, Rozman diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Untuk rekod, perbicaraan kes itu yang bermula 11 Ogos tahun lalu dengan antara saksi pendakwaan yang telah dipanggil ialah Bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) Zulkurnain Ayub, Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pengangkutan, Datuk Chua Kok Ching dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) Hida Jerman.
Mengikut pertuduhan, Rozman, 59, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE