fbpx

Imam Instant Ustazah Scammer satukan Mira, Hun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMPIAN peminat untuk menyaksikan gandingan Mira dan Hun dalam sebuah lakonan yang sama akhirnya tercapai menerusi drama komedi, Imam Instant Ustazah Scammer.

BERSESUAIAN dengan kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi, Astro Ria menampilkan sebuah drama baharu yang sarat mesej positif di sebalik genre komedi berjudul Imam Instant Ustazah Scammer.

Diarahkan oleh Hadith Omar, drama sembilan episod tersebut buat julung kali menampilkan gandingan serasi dua figura popular dan diminati ramai, Mira Filzah bersama Hun Haqeem.

Kedua-dua selebriti popular itu sebelum ini pernah mencuri tumpuan selepas muncul dalam video klip lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Siapa Tak Mahu pada 2020.

Sudah tentu, gandingan mereka buat pertama kali dalam sebuah drama mengujakan peminat yang selama ini tidak sabar melihat Mira dan Hun bersatu sebagai pasangan.

“Selepas berumah tangga, Mira berehat sebentar dan ini merupakan kemunculan semula yang besar untuknya. Tambah menarik, dia digandingkan buat pertama kali dengan Hun.

“Sangat menarik dan comel, jadi mesti kena tengok,” ujar Hadith.

Bersempena kedatangan Ramadan pada hujung bulan ini, Hadith berharap mesej dalam drama tersebut dapat disampaikan dan difahami penonton terutama dalam menerapkan semangat bulan mulia.

“Drama ini berbentuk ringan tetapi terdapat isu serta banyak pengajaran kerana kami cuba memberikan didikan kepada peminat tentang pelajaran agama melalui komedi.

“Ada banyak juga diselitkan tentang Ramadan demi menyuntik kembali semangat menyambut bulan mulia dan hari raya yang kian pudar dalam masyarakat,” ujarnya.

SELEPAS tiga tahun, Mira dan Hun akhirnya bersatu dalam sebuah lakonan yang sama. Mereka pertama kali pernah bekerjasama dalam video klip lagu Siapa Tak Mahu nyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 2020.

Sedikit info, Imam Instant Ustazah Scammer mengisahkan seorang wanita bernama Effa (Mira) yang terdesak untuk membayar hutang sehingga sanggup menyamar sebagai ustazah dan menipu tentang latar belakangnya.

Akibat dikejar ah long, dia melarikan diri ke Kampung Ramadan dan bertemu dengan Imam Asyraf (Hun), seorang pempengaruh yang viral kerana alunan suara merdu ketika membaca al-Quran.

‘Tak menangis lagi’

Biarpun memegang watak seorang ustazah, Mira tidak melakukan kajian atau mengambil rujukan daripada karya membabitkan golongan berkenaan.

Sebaliknya pelakon berusia 30 tahun itu menjadikan tontonan filem komedi popular Thailand, The Con-Heartist sebagai cara dia mendalami elemen lucu.

“Watak kelakar dalam drama ini menjadi dengan bantuan semua orang di sekeliling, skrip serta props.

“Saya tak perlu jadi kelakar berlebihan kerana Effa lebih kepada watak seorang yang terdesak,” ceritanya.

Bercakap tentang kemunculan semula selepas hampir setahun, Mira cukup teruja kerana dia kembali menyapa peminat dengan naskhah berbeza.

“Sebenarnya gementar tapi alhamdulillah dapat buat kemunculan semula dengan sebuah cerita yang ringan, relaks dan komedi.

“Bukan drama berat yang memerlukan saya menangis-nangis lagi. Semoga semua suka. Kerja dengan Hun pun senang dan menyeronokkan,” katanya lagi.

DI sebalik genre komedi dan santai, Imam Instant Ustazah Scammer sarat dengan mesej pengajaran untuk penonton.

Dalam pada itu, sebagai usaha menyelami watak Imam Asyraf, Hun menjadikan pengalaman bergaul dengan orang surau ketika zaman remaja banyak membantunya bagi membangunkan watak Asyraf.

Menariknya, Hun pernah menjadi budak pembancuh air teh O di surau pada bulan Ramadan untuk jemaah selepas menunaikan solat tarawih.

“Rujukan saya pelbagai termasuk karakter yang saya temui sebelum ini. Kemudian disatukan untuk dijadikan Imam Asyraf.

“Saya juga ada merujuk geng surau. Sebenarnya dahulu saya pernah jadi budak bancuh teh O di surau kerana sepanjang bulan Ramadan, tugas saya menyediakan minuman kepada jemaah tarawih,” ceritanya.

Bercakap tentang gandingan bersama Mira buat pertama kali dalam kaca televisyen, dia cukup teruja kerana sebelum ini keserasian sudah tercetus ketika bekerjasama untuk video klip lagu Siapa Tak Mahu.

“Kami ada keserasian. Menariknya kali ini kami buat sesuatu yang seronok supaya audiens boleh saksikan bersama menerusi kaca televisyen,” kata Hun.

Imam Instant Ustazah Scammer terbitan produksi Zeel Production mula menemui penonton bermula 5 Mac lalu setiap hari Ahad pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI