PETALING JAYA – Seorang ibu yang sedang tenat di hospital akibat menghidap sakit kanser sedang mencari anak lelakinya yang dipercayai sudah lapan tahun hilang tanpa dikesan.
Perkara itu dikongsikan Siti Aishah di Faceebook semalam memohon pertolongan orang ramai jika mengenali lelaki berkenaan.
“Kalau ada sesiapa kenal atau terserempak dengan individu dalam gambar (Izam Jamaludin, 31), mohon maklumkan mak dia tengah sakit tenat di hospital hidap kanser. Dah seminggu sebut nama dia.
“Izam dah lapan tahun tak dapat dikesan. Kali terakhir masa nak pergi praktikal dekat Baling, Kedah,” katanya dalam hantaran terbabit.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kewujudan individu terbabit, Siti Aishah menjelaskan bahawa Izam masih hidup.
“Dia masih hidup sebab surat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sampai rumah katanya. Ini pun jiran dia minta tolong sebarkan.
“Mak dia dah tenat sangat dan sudah tiada harapan doktor jangka. Nak tengok dia kali terakhir,” ujarnya.
Hantaran menyayat hati itu kemudian telah dikongsi semula oleh Cikgu Mohd. Fadli Salleh yang kini tular di media sosial sehingga mendapat perhatian ramai.
Namun, guru matematik itu menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi terhadap individu tersebut.
“Tolong panjangkan (pesanan) ini sampai abang ini tahu. Tak payah komen lebih-lebih kata anak derhaka ke apa, kita tak tahu sejarah seseorang. Doakan dia pulang dan sempat jumpa emaknya. Tu cukup. Terima kasih,” katanya ringkas. – KOSMO! ONLINE