PETALINGA JAYA – Public Health Malaysia (PHM) berkongsi tujuh tip berdepan dengan kekalahan agar seseorang atau kumpulan itu mampu bangkit meneruskan kehidupannya.
PHM menerusi hantaran di Facebooknya sebentar tadi memaklumkan, antara tip yang boleh dipraktikkan adalah belajar dari kesilapan lalu.
“Selain itu, elak pendam emosi dan perasaan serta berbual dengan rakan yang berhadapan dengan kekalahan yang sama.
“Tip lain adalah elakkan mengasingkan diri dan cuba berada bersama individu positif untuk tidak memikirkan kekalahan yang terjadi,” kongsinya.
PHM juga mengingatkan bahawa kekalahan yang terjadi tidak semestinya akan kekal berlaku di kemudian hari lagi.
“Tewas sekali bukan kalah selamanya,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mula berteka-teki tentang tujuan sebenar tip tersebut diberikan.
Ada di antara pengguna mengaitkan tip tersebut dengan kekalahan sebuah pasukan bola sepak ternama baru-baru ini.
Terdahulu, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) dalam satu poster memuat naik pantun empat kerat berserta nombor tujuh telah meraih perhatian ramai pengguna media sosial hari ini.
“Satu dua tiga empat, lima enam tujuh setengah, sungguhpun pandai tupai melompat, ada masa jatuh ke tanah,” katanya. – KOSMO! ONLINE