fbpx

Fajarbaru mahu peroleh lebih banyak projek pembinaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fajarbaru telah mendapatkan kontrak untuk membangunkan semula fasiliti ketenteraan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Fajarbaru Builder Group Bhd (Fajarbaru) berkeyakinan untuk meneruskan pembinaan lebih banyak projek pada tahun ini dan berharap dapat menjadi sebuah syarikat pembinaan yang paling bernilai dalam pasaran.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Chan Kong Choy berkata,  pihaknya juga berhasrat untuk terus mencipta nilai pegangan saham untuk pemegang kepentingannya.

“Kumpulan kini berada pada kedudukan kewangan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Fajarbaru adalah  sebuah syarikat pemegangan pelaburan dengan anak-anak syarikatnya yang terlibat terutamanya dalam pembinaan, pembangunan hartanah, pembalakan dan perdagangan kayu dan perniagaan perladangan terutamanya di Malaysia dan Australia.

Kumpulan melalui anak syarikat milik penuhnya Fajarbaru Builder Sdn. Bhd. telah memenangi kontrak pembinaan melalui pelaksanaan tender, untuk tiga blok kondominium bernilai RM310.54 juta daripada anak syarikat tidak langsung WCT Holdings Bhd, Kekal Kirana Sdn. Bhd.

Kerja pembinaan yang merangkumi tiga blok menara kondominium yang terdiri daripada 341 unit itu dijangka siap dalam tempoh 35 bulan.

Kontrak itu diperoleh melalui proses tender yang dijalankan oleh Fajarbaru Builder Sdn Bhd.

Kong Choy menjelaskan, kontrak baharu yang diperoleh akan tingkatkan buku pesanan Fajarbaru dengan ketara dan meningkatkan kejelasan pendapatannya pada masa hadapan.

Kontrak itu juga dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham syarikat itu dari tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 dan seterusnya.

“Selepas kesuraman dalam pasaran pembinaan, ini adalah permulaan yang baik untuk Fajarbaru dan bukti keupayaan syarikat untuk memperoleh dan melaksanakan projek pembinaan bernilai tinggi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI