SINGAPURA – Hukuman denda akan dikenakan jika terdapat aduan bahawa penghuni hotel berbogel di dalam biliknya sendiri di Singapura, lapor portal berita The Sun kelmarin.
Jika seseorang melaporkan kepada pihak berkuasa bahawa terdapat penghuni yang berbogel di dalam bilik hotelnya, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak S$2,000 (RM6,649) atau dipenjara selama tiga bulan di negara tersebut.
Ia adalah kerana perbuatan bogel tersebut dianggap sebagai tingkah laku lucah di bawah Akta Kesalahan Pelbagai (Ketenteraman Awam dan Gangguan) atau MOPONA di Singapura.
Sudah tentu, seseorang itu akan didapati bersalah jika perbuatan berbogel itu dilihat oleh orang lain dan ia menjadi pandangan umum. Justeru, tirai bilik hotel perlu ditutup dengan sempurna sekiranya penghuni tidak memakai seurat benang.
Pada tahun 2009, seorang lelaki didenda S$2,600 (RM8,644) selepas dia berbogel di dalam flatnya sendiri. Perbuatannya yang tidak memakai sebarang pakaian dilihat oleh jirannya.
Singapura turut menguatkuasakan undang-undang melarang mengunyah gula-gula getah, memberi makan haiwan liar dan mencuri WiFi milik orang lain. – Agensi