PETALING JAYA – Tujuh tahun bahagia menjawat peranan sebagai suami kepada Stacy, penyanyi dan komposer, Akim Ahmad mendedahkan dia lebih suka menghabiskan masa di rumah.
Kata Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad, tolak ansur dalam perkahwinan adalah resepi hubungan mereka kekal hingga sekarang.
“Saya bukan jenis orang yang suka lepak di luar sangat. Ada masa diluangkan dengan kawan-kawan sebab kita orang lelaki tetapi, kebanyakan masa saya suka duduk di rumah.
“Kadang-kadang, bila duduk di rumah, isteri (Stacy) banyak bertanya dan bertukar pendapat apa semua. Memang benda itu sebenarnya sedikit sebanyak, buat kami bertekaklah.
“Dalam hubungan, saya macam api dan Stacy adalah air. Saya selalu duduk di rumah tapi tak selalu pegang anak kecil (Isa). Kerja cuci berak, bagi susu anak semua kebanyakan dilakukan oleh Stacy,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dalam pada itu, Akim mengakui bahawa berkahwin dengan Stacy atau nama lengkapnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam adalah satu pilihan terbaik dilakukannya dalam hidup.
Pun begitu katanya, dalam kehidupan memang sentiasa ada ‘ujian’.
“Pilihan berkahwin dengan Stacy, saya berasa sangat puas hati. Maksudnya, saya terima dia seadanya. Tanpa ada sekelumit rasa ragu-ragu. Perasaan itu memang saya dah buat awal-awal sebelum berkahwin.
“Dalam fikiran sekarang, memang dah tanamkan saya akan hidup dengan dia selama mana nyawa dikandung badan.
“Isteri saya adalah pilihan yang terbaik. Bila dah tujuh tahun usia perkahwinan, saya masih rasa dia adalah yang terbaik. Saya tak pernah rasa ada orang lain lebih baik daripada dia.
“Tapi orang lelaki yang dah berkahwin, bohong tak pernah puji wanita lain lawa waima dalam hati,” ujarnya.
Untuk info, Akim dan Stacy berkahwin pada 5 Februari 2016 dan dikurniakan dengan tiga cahaya mata, Bella De Luna Valentina, 10, dan Eshaal Afiq Hakim, 6, dan Isa, tujuh bulan.- KOSMO! ONLINE