PETALING JAYA – Perlakuan menyayat hati seorang kanak-kanak autism ketika menghadiri pengebumian ayahnya telah menyentuh emosi ramai pengguna media sosial hari ini.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @sweetmarina58 di akaun TikToknya, kelihatan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dalam keadaan menangis ketika dibawa ke kawasan kubur untuk memperlihatkan ayahnya buat kali terakhir.
Kanak-kanak perempuan itu berjaya ditenangkan dan akhirnya melihat sayu ayahnya dikebumikan dari tepi kubur.
“Anak tunggal arwah seorang ini sahaja berusia sembilan tahun. Dia tidak faham apa yang berlaku kerana kanak-kanak istimewa autism.
“Ayahnya muda lagi umur 41 tahun meninggal dalam tidur kelmarin. Semoga syurga tempatmu,” tulis pengguna itu dalam videonya.
Sehingga kini video tersebut telah mendapat 531,000 tontonan, 23,100 tanda suka dan 793 perkongsian.
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang sebak melihat video tersebut dan mendoakan agar urusan kanak-kanak itu dipermudahkan.
“Al-Fatihah, hilang tempat mengadu seorang anak perempuan, hilang kekuatan anak itu,” komen Intan.
“Masyallah, semoga dipermudahkan urusan kamu selepas ini ya anak syurga, sebaknya rasa sebab saya juga dikurniakan seorang anak istimewa,” komen pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE