PETALING JAYA – Penyanyi Ayda Jebat tampil mempertahankan diri selepas segelintir netizen menuduh dia bersikap hanya ‘menunggu’ tiket percuma untuk pergi konsert kumpulan K-pop popular, Blackpink baru-baru ini tanpa membelinya menggunakan wang sendiri.
Jelas Ayda, 32, sepatutnya dia datang ke konsert tersebut menggunakan tiket yang dibeli oleh suaminya, Nabil Mahir hujung tahun lalu sempena hadiah hari lahir awal untuknya.
Bagaimanapun pada saat-saat akhir, umpama bulan jatuh ke riba, Ayda menerima tiket percuma di bahagian VIP daripada aplikasi e-Wallet, Boost.
Namun penyanyi lagu Pencuri Hati itu tidak dapat mendedahkah alasan mengapa dia menerima hadiah istimewa tersebut, tetapi dipercayai ada kaitan dengan jalinan kerjasama bersama Boost tidak lama lagi.
“Kepada yang kata saya tunggu tiket percuma baru pergi! Aduh, suami saya belikan dah lama awak. Berusaha Nabil beli duduk depan laptop macam kalian.
“Kerusi bahagian VIP dah habis, dapat di kerusi CAT 1. Pun dah gembira! Hadiah hari lahir saya,” ceritanya.
Sambung Ayda, beberapa hari lalu sebelum konsert berlangsung, dia terkejut apabila menerima hadiah berupa tiket kerusi di bahagian VIP daripada Boost.
“Boost bagi hadiah kepada saya kerusi VIP. Sebab… okey ini nanti akan diumumkan. Tapi rezeki! Alhamdulillah,” katanya ringkas.
Disebabkan itu kata Ayda, tiket miliknya yang dibeli oleh Nabil dihadiahkan kepada kakak ipar dan anak buahnya.
Dalam perkongsian InstaStory bagi menjelaskan keadaan tersebut, Ayda turut memuat naik tangkap layar sebuah portal menulis tentang tiket konsert Blackpink yang dibeli Nabil pada November tahun lalu.
Menerusi laporan tersebut, Ayda teruja menerima hadiah hari lahir awal daripada suami tercinta memandangkan selama ini dia tidak pernah menghadiri sebarang penganjuran konsert.
Sejak semalam, hangat dalam gelanggang Twitter selepas terdapat segelintir netizen meluahkan rasa tidak puas hati dengan kehadiran beberapa artis tempatan ke konsert Blackpink menggunakan tiket percuma.
Selain Ayda, ramai selebriti tempatan lain tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert gah kumpulan popular itu antaranya Mira Filzah, Puteri Aishah, Azira Shafinaz dan Mimi Lana.
Konsert Blackpink yang berlangsung pada Sabtu lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil mengumpulkan seramai lebih 60,000 peminat menjadikan jumlah paling ramai sepanjang jelajah dunia kumpulan itu, Born Pink.- KOSMO! ONLINE