SANDAKAN – Kira-kira 400 penduduk hilang tempat tinggal selepas lebih 90 rumah di perkampungan atas air di Kampung Cenderamata, Batu Sapi musnah terbakar pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat sehingga memusnahkan puluhan lagi rumah yang terletak berhampiran dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi berkenaan.
“Kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kecederaan. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.48 pagi.
“Semua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lupak Meluas, Batu Sapi,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Fuad menyatakan punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE