SEGAMAT – Kerajaan tidak akan mengisytiharkan sebarang darurat berhubung situasi bencana banjir yang berlaku di Johor ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengisytiharan tersebut tidak perlu dilakukan kerana hujan dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Keputusan kerajaan tidak isytihar darurat kerana hujan dijangka berkurangan dan di beberapa tempat sedikit surut. Di beberapa tempat yang mengambil banjir temenung pula, mungkin itu mengambil masa sedikit untuk surut.
“Namun tidak perlu darurat setakat ini dan keadaan banjir difahamkan mulai surut bermula hari ini,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Tengah, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh.
Pada Jumaat lalu, kabinet tidak membincangkan sebarang keperluan untuk melaksanakan darurat di Johor yang terjejas teruk akibat banjir.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini Jemaah Menteri berpandangan bantuan segera dapat diberikan kepada mangsa.
Pada masa yang sama kerajaan turut bersetuju untuk memperuntukkan bantuan khas sejumlah RM50 juta selain sebanyak RM10 juta bantuan mangsa banjir kepada Johor disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membeli barangan keperluan dan bantuan tambahan kepada penduduk terjejas banjir di negeri itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukkan dari kerajaan itu diharap dapat meringankan beban mangsa banjir memandangkan banyak barang kediaman yang rosak akibat bencana itu.
Beliau turut memberitahu telah menghubungi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membantu mangsa banjir di Johor
“Saya juga telah hubungi semua GLC penting kerajaan Persekutuan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk selesaikan masalah elekterik dengan kadar segera.
” Selain itu Yayasan Sime Darby menyediakan kit kesihatan kepada 1,500 keluarga dan menyalurkan dana tambahan RM20 juta untuk mangsa banjir di negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE