KUALA LUMPUR – Demi merancakkan kembali langkahnya sebagai seorang penyanyi, Stacy tidak menolak sekiranya diberi pelawaan bertanding dalam pertandingan nyanyian seperti Gegar Vaganza (GV).
Bagaimanapun, menurut Stacy atau nama sebenarnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, apa-apa sekalipun, dia perlu berbincang dan mendapat restu daripada suami, Akim Ahmad.
“Saya akan tunggu restu daripada suami saya (ketawa).
“Tapi sejujurnya, ikut perancangan juga. Saya dan Akim dua-dua penyanyi dan juga, komposer.
“Memang kami ada ruang atau kebebasan dari segi masa tapi perlu diatur dengan baik supaya tiga orang anak kami tidak terabai,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.
Stacy yang ditemui usai konsert DFP Presents Stacy di Dewan Filharmonik Petronas di sini berkata lagi, anak-anak adalah yang utama dalam pada kerjaya seni terus berjalan.
“Dalam pada kami bekerja setiap hari, kebajikan anak-anak juga adalah yang paling nombor satu.
“Insya-Allah. Mudah-mudahan,” kata Stacy, 33, yang mendendangkan lebih 15 buah lagu pada konsert tersebut.
Terdahulu, buat pertama kali selepas 15 tahun bergelar penyanyi, Stacy mengadakan persembahan berskala konsert di DFP.
Konsert tersebut melakar sejarah sebagai konsert pertama yang di-strim secara langsung (live streaming) menerusi akaun YouTube DFP. – KOSMO! ONLINE