PETALING JAYA – Tanpa berselindung, isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri mengakui bahawa Puteri Sarah adalah sebab mengapa dia berani tampil ke hadapan mempertahankan diri.
Shuhada, 29, merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga buat wanita itu yang turut berdepan situasi sama apabila rumah tangga dibina akhirnya menemui jalan noktah atau perceraian.
“Dia (Puteri Sarah) adalah orang pertama yang buat saya berada di tempat sekarang.
“Terima kasih kak Puteri Sarah (tulis sambil air mata mengalir seperti darah turun dua hari lepas),” coretnya menerusi InstaStory.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin mengakui ada berhubung dengan Shuhada untuk memberi tunjuk ajar apa yang perlu dilakukan dari segi undang-undang andai berdepan ketidakadilan dalam rumah tangga.
Sarah mendedahkan, sewaktu mengerjakan umrah di Tanah Suci, Shuhada ada menghubunginya menerusi media sosial (Instagram) dan sejak itu, dia sekadar memberi bimbingan dan nasihat guaman kepadanya.
Bagaimanapun ujar Sarah yang bakal muncul dengan drama rantaian terbaharu, Andai Itu Takdirnya menafikan bahawa rumah tangga Shuhada dan Hafidz berakhir disebabkan dirinya mempengaruhi wanita itu.
Pada 2 Mac lalu, Hafidz didakwa menumbuk bahagian kiri wajah Shuhada sebanyak tiga kali selepas berlaku pertengkaran antara mereka di sebuah lokasi berdekatan kawasan rehat dan rawat (R&R), Sungai Buloh, Selangor sekitar pukul 6 pagi.
Akibat kejadian tersebut, Shuhada terpaksa menerima 10 jahitan pada wajahnya.
Susulan kejadian terbabit, dua ahli keluarganya turut membuat laporan polis dan kes dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK), Selangor.
Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada April 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.
Hafidz melafazkan cerai terhadap Shuhada melalui panggilan telefon bersaksikan keluarga 22 Februari lalu sebelum wanita itu memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah Shah Alam. – KOSMO! ONLINE