KUALA TERENGGANU – Pengusaha kedai emas di Terengganu kini boleh kembali tersenyum apabila premis perniagaan mereka kembali diserbu pelanggan sejak hujung minggu lalu.
Sebelum ini, permintaan terhadap barangan kemas di negeri ini agak suram sejak hampir enam bulan lalu walaupun harga emas semakin turun.
Tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang, di sini lebih 17 pengusaha kedai emas mulai kembali tidak menang tangan melayan pelanggan yang kebanyakan terdiri daripada pelancong sejak Sabtu minggu lalu.
Seorang pengusaha kedai emas, Ghazali Embong, 49, berkata, kedatangan pelancong pada musim cuti persekolahan ini membawa rezeki kepada mereka.
“Sebelum ini, kami lebih banyak termenung di kedai daripada melayan pelanggan sehingga terpaksa menurunkan harga emas semurah RM242/gram.
“Kami mula terima kehadiran ramai pelanggan pada Sabtu minggu lalu. Kebanyakan yang membeli barangan kemas datang dari Lembah Klang, Perak dan Kedah,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Pasar Besar Kedai Payang di sini baru-baru ini.
Ghazali berkata, pada masa ini harga emas menurun sedikit kepada RM246/gram berbanding RM255/gram pada sambutan Tahun Baharu Cina pada akhir Januari lalu.
Seorang lagi pengusaha kedai emas, Zakaria Yusoff berkata, antara barangan kemas yang laris dicari pelanggan ialah rantai leher dan gelang tangan bebola sawi.
Dia berharap kemeriahan dan sambutan memberangsangkan terhadap barangan kemas itu dapat berterusan sehingga sekurang-kurangnya dua minggu pertama Mac ini.
“Kami faham ekonomi masih belum memberangsangkan membuatkan orang ramai berjimat-cermat.
“Apatah lagi, sesi baharu persekolahan dan Ramadan jatuh hampir serentak pada minggu ketiga Mac.
“Bagaimanapun, jualan emas dijangka kembali perlahan selepas itu,” katanya.
Zakaria berkata, dia dan pengusaha barangan kemas lain sedang merangka strategi bagi menarik pelanggan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hujung April depan supaya pelanggan boleh melaram pada musim perayaan. -KOSMO! ONLINE