MELAKA – Hujan yang berterusan sejak Rabu lalu bukan sahaja mengundang banjir, malah memaksa lebih 270 pengayuh beca berhias di negeri ini termenung ekoran ketiadaan pelanggan.
Pengerusi Persatuan Beca Kota Melaka, Amirrudin Shah Arman, 31, berkata, sebanyak 274 pengayuh beca berlesen di Banda Hilir terkesan akibat keadaan cuaca yang tidak menentu itu.
Katanya, kebanyakan pengayuh beca terpaksa menunggu hujan menjadi renyai sebelum boleh keluar mencari pelanggan.
“Kalau keluar masa hujan lebat lebih parah kerana beca berhias dilengkapi dengan peralatan elektronik yang mudah rosak jika terkena air.
“Hiasan yang dibuat pada setiap beca juga perlu dijaga kerana kos membuatnya ada yang mencecah RM2,000,” katanya.
Menurut Amirruddin, pengayuh beca ketika ini hanya mengharapkan trip pada waktu malam dengan hasil pendapatan sekitar RM50 sehingga RM100.
“Biasanya hari siang memang tak ramai orang, ditambah pula musim hujan sekarang kadangkala satu trip (RM25) pun susah.
“Jadi, kami hanya mengharapkan pelanggan pada waktu malam, bagi mereka hujan gerimis di Melaka ini ibarat salji,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Beca Warisan Melaka, Muhammad Sobri Md. Yaakub, 33, pula berkata, seramai 37 pengayuh beca di bawah persatuan itu terpaksa mencari sumber pendapatan lain termasuk membuat kerja kampung.
“Sekarang ini memang ramai tidak dapat keluar kerana musim hujan lebat, namun ada juga yang mengambil risiko keluar menunggu pelanggan jika hujan bertukar renyai atau gerimis.
“Kebiasaanya pada hujung minggu kami boleh dapatkan sekitar lima hingga enam trip tetapi sekarang memang suram, kenalah ambil upah buat kerja-kerja kampung untuk tampung perbelanjaan,” katanya yang telah empat tahun bekerja sebagai pengayuh beca. -KOSMO! ONLINE