fbpx

Pencarian pelajar tahfiz lemas dihentikan sementara, tiada petunjuk ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian anggota pelbagai agensi menjalankan pemantauan sepanjang Pantai Kemayang, Bachok, petang tadi. FOTO ROHANA MOHD. NAWI/KOSMO!

BACHOK – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelajar tahfiz, Ahmad Fadhullah Mohamad, 12, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari benteng penghadang ombak di Pantai Kemayang di sini hari ini dihentikan buat sementara waktu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, operasi tersebut dihentikan pada pukul 7.30 malam tadi selepas SAR dijalankan selama 11 jam gagal menemui sebarang petunjuk.

Menurutnya, SAR yang melibatkan seramai 67 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi akan disambung semula pagi esok.

“Bagaimanapun, kita akan menempatkan anggota dari semua agensi terlibat untuk menjalankan pemantauan di sepanjang pantai malam ini.

“Kita menjangkakan mangsa akan ditemui dalam tempoh 24 jam. Semua anggota bertugas sentiasa memantau dari masa ke semasa di sepanjang pantai berkenaan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian sebentar tadi.

Sementara itu, ibu mangsa, Rosnani Mat Salleh,60, berkata, seluruh ahli keluarga berdoa agar Ahmad Fadhullah dijumpai dengan segera dan berterima kasih kepada semua yang terlibat mencari anaknya sepanjang hari.

“Saya dan keluarga akan mengadakan solat hajat memohon agar Ahmad Fadhullah dijumpai di lokasi dia lemas,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang pelajar tahfiz dikhuatiri lemas selepas tergelincir sebelum terjatuh dari kawasan benteng penghadang ombak di Pantai Kemayang di sini semasa melihat pemandangan air pasang di pantai tersebut pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, Ahmad Fadhullah masih belum dijumpai manakala kakak, Nurul Afiqah, 19, dan anak saudaranya, Muhamad Nabil Irfaan Ismail Mokhtar, 11, sempat diselamatkan oleh ahli keluarga mereka. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI