BACHOK – Seorang pelajar tahfiz dikhuatiri lemas selepas tergelincir sebelum terjatuh dari kawasan benteng penghadang ombak di Pantai Kemayang di sini semasa melihat pemandangan air pasang di pantai tersebut pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Ahmad Fadhullah Mohamad, 12, masih belum dijumpai manakala kakak, Nurul Afiqah, 19, dan anak saudaranya, Muhamad Nabil Irfaan Ismail Mokhtar, 11, sempat diselamatkan oleh ahli keluarga mereka.
Ibu mangsa, Rosnani Mat Salleh, 60, berkata, dia bersama ahli keluarganya pergi berkelah di pantai tersebut pagi tadi.
Menurutnya, Ahmad Fadhullah yang merupakan anak bongsu daripada 18 orang beradik bersama kakak dan anak saudaranya duduk di atas benteng penghadang ombak sebelum Muhamad Nabil Irfaan terjatuh ke dalam air.
“Nurul Afiqah dan adiknya terjun ke dan air untuk menyelamatkan anak saudaranya, namun Ahmad Fadhullah terus hilang dipercayai dihanyut ombak. Melihat keadaan itu, menantu saya, Soleh Aziz, 25, terus berlari ke atas benteng untuk menyelamat mereka bertiga, namun Ahmad Fadhullah sudah tiada di situ.
“Saya sempat memegang tangannya sebelum dia dikhuatiri lemas. Itu kali terakhir saya melihat wajah Ahmad Fadhullah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.15 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Setakat ini, mangsa masih belum dijumpai dan SAR masih dijalankan di kawasan pantai itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE