KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal serta pemboncengnya perempuan berusia 16 tahun antara ditahan selepas didapati nombor pendaftaran motosikal digunakannya adalah palsu dalam sekatan jalan raya di Jalan Pahang, malam semalam.
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) dalam sebuah hantaran di Facebook berkata, Operasi Motosikal Bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu bermula pada pukul 8 malam.
Katanya, sebanyak 248 helai saman POL 257 pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan itu.
“Dalam operasi tersebut turut ditahan seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun serta pemboncengnya perempuan berusia 16 tahun kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Kesalahan dilakukan adalah di bawah Seksyen 29(1) AKK 1955 dan akan dituduh dibawah Seksyen 108(3)(e) APJ 1987,” katanya dalam hantaran itu.
Sehubungan itu, JSPTKL menasihati ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dengan aktiviti tidak sihat. – KOSMO! ONLINE