fbpx

Tinggal di penempatan haram sebab jimat, ramai kawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOKASI penempatan haram yang turut mempunyai surau dan kedai runcit untuk kemudahan pekerja warga asing di Bandar Ainsdale, Seremban. - NOR SHAFAWATI YUP

SEREMBAN – Sebuah penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di Bandar Ainsdale, di sini yang diserbu Jabatan Imigresen kelmarin didiami oleh warga Indonesia yang majoriti nya beragama Islam dan bekerja sebagai buruh di kawasan perumahan berhampiran.

Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati laluan masuk ke penempatan haram itu perlu melalui jalan tanah merah dengan kawasannya sedikit berbukit.

Struktur rumah diperbuat daripada kayu dan terdapat kemudahan surau dan kedai runcit untuk kemudahan penduduk.

Seorang penghuni warga Indonesia, Safir, 32, yang tinggal di situ sejak tujuh bulan lalu berkata, kawasan itu kini sunyi selepas bapa saudara dan rakan-rakan­nya ditahan Jabatan Imigresen kerana tiada permit sah.

“Saya tidak ditahan kerana ada permit kerja, kebanyakan yang tinggal sini orang Indonesia berasal dari etnik Jawa, Madura dan Flores yang beragama Islam.

“Saya tinggal di sini sebab lebih jimat dan selesa ada ramai kawan jika dibandingkan tinggal di luar,” katanya ketika ditemui di kawasan penempatan haram itu di sini semalam.

Rata-rata penghuni menggunakan bekalan air bukit yang disimpan serta generator untuk menghidupkan elektrik pada waktu malam.

DUA pekerja asing yang mempunyai permit kerja sah tetap menghuni penempatan haram di Bandar Ainsdale, Seremban semalam. – NOR SHAFAWATI YUP

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, berdasarkan siasatan penempatan haram yang dibina sejak beberapa tahun lalu dan berkeluasan 0.4 hektar itu dipercayai dijadikan ‘perkampungan’ PATI walaupun kontrak kerja mereka telah tamat.

“Sebelum ini, ada antara PATI ini bekerja sebagai buruh di kawasan berhampiran, tetapi apabila projek (perumahan) telah selesai mereka tidak balik-balik dan terus tinggal di situ.

“Memang masa itu mereka bekerja secara sah, tetapi apabila permit kerja tamat ada yang tidak pulang sebab itu kita ambil tindakan kerana tinggal lebih masa di negara ini di bawah Seksyen Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002),” katanya ketika dihubungi semalam.

Ujar Kennith, penempatan haram itu dipercayai dibina kurang dari tempoh lima tahun dan majoriti penghuninya adalah warga Indonesia beragama Islam.

“Selepas permit kerja buruh tamat mereka mengambil upah kerja dengan gaji harian bagi meneruskan hidup,” katanya.

Jelas beliau, dari segi kemudahan penempatan haram di Bandar Ainsdale itu lebih mudah diakses dengan jarak ke jalan utama lebih dekat.

“Jika dibandingkan dengan penempatan haram di Nilai Spring yang diserbu awal bulan lalu, kawasan ini kurang mencabar dan lebih mudah untuk masuk,” katanya.

Beliau berkata, proses siasatan sedang dijalakan dan Jabatan Imigresen akan mengambil ke­terangan kesemua PATI yang ditahan serta pihak pemaju.

Kelmarin Kosmo! melaporkan, sebuah lagi penempatan haram PATI di Negeri Sembilan diserbu dalam operasi bersepadu di sebuah kawasan berhampiran Bandar Ainsdale, di sini.

Dalam serbuan pukul 1 pagi di kawasan berbukit berkeluasan kira-kira dua padang bola sepak itu berjaya menahan 32 orang PATI yang terdiri daripada 16 orang lelaki, 15 wanita dan seorang kanak-kanak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI