fbpx

Liga Super: Selangor FC tercicir mata, diikat Sri Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pertahanan Selangor FC, Shahrul Nazeem mengasak penyerang Sri Pahang, Kpah Sherman pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ sebentar tadi. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

PETALING JAYA – Permulaan cemerlang pasukan Selangor FC pada kempen Liga Super musim ini gagal diteruskan selepas terikat seri 1-1 dengan Sri Pahang sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium MBPJ itu, skuad Gergasi Merah kendalian Tan Cheng Hoe mengekalkan kesebelasan terbaik dengan menggunakan pemain utama seperti Ayron del Valle, Faisal Halim dan Brendan Gan.

Kedua-dua pasukan yang beraksi pada saingan petang buat kali pertama musim ini dilihat memerlukan masa untuk mencari tempo dengan Selangor dilihat lebih banyak mendominasi saingan.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-34 selepas Ayron berjaya meledak gol sebelum jaringan dibatalkan susulan ofsaid.

Pahang turut mempunyai peluang keemasan menerusi penyerang utama, Kpah Sherman tetapi gagal rembatan yang dilakukan ketika situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Selangor tidak menepati sasaran.

Bersambung pada separuh masa kedua, aksi lebih terbuka apabila hujan mula turun dengan jentera serangan Tok Gajah bijak melakukan serangan balas pantas.

Peluang yang dinanti akhirnya tiba selepas Pahang dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran yang dilakukan oleh pemain pertahanan, Shahrul Nazeem Zulpakar.

Kesempatan itu digunakan oleh Stefano Brundo untuk menjaringkan gol pertama meskipun penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid berjaya menepis sepakan penalti yang dilakukannya.

Tersentak dengan gol tersebut, Selangor berusaha mencari gol penyamaan yang hadir menerusi jaringan Brendan pada minit ke-88.

Pasukan Merah Kuning hampir meraih gol kemenangan tetapi sepakan percuma yang diambil Mukhairi Ajmal pada masa kecederaan sekadar menggegar palang gol dengan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kedudukan itu menyaksikan Selangor mengutip tujuh mata manakala Pahang meraih lima mata selepas mengharungi tiga aksi Liga Super musim ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI