PETALING JAYA – Akibat terkantoi kali kedua masih menjalin hubungan dengan orang ketiga dikatakan menjadi punca isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri ditumbuk sebanyak tiga kali pada bahagian muka hingga menerima 10 jahitan.
Kata Shuhada, sebelum lafaz cerai lagi hubungan pelakon itu dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Athira Yuhada masih berlanjutan walaupun wanita itu kononnya sudah membuat permohonan maaf selain berjanji menamatkan komunikasi antara mereka.
“Dia kantoi lagi kali kedua dengan Shu sebelum lafazkan cerai. Pihak sana buat permohonan maaf takkan ‘contact’ segala tapi masih berhubungan.
“Hafidz takut dengan bayang-bayang sendiri dan kesalahan dia. Tiada provokasi, hanya ketakutan dalam diri bakal kena viral.
“Kekasih hati takut kena kecam lagi,” kata wanita berusia 29 tahun itu menjawab soalan pengikut dalam Instagram berhubung alasan dia dibelasah seteruk itu.
Dalam hantaran InstaStory berbeza, Shuhada turut meluahkan rasa sedih tatkala berdepan ujian yang sangat berat, tambahan pula selepas mengetahui adik iparnya bersekongkol dalam isu kecurangan Hafidz.
“Saya akui ujian Allah kali ini sangat berat. Allah dah tulis takdir hidup saya dan anak-anak. Sehebat dan seberat mana pun ujian buat saya dan anak-anak, saya tak boleh lari.
“Saya kena lalui perit sakit semua itu, saya ditumbuk dan dikhianati. Saya ditipu dan dipermainkan dengan nama Allah (dia bersumpah itu ini), sedangkan adiknya sendiri bersubahat,” tulisnya.
Dalam hantaran berkenaan, ibu kepada dua anak itu berkongsi gambar pipi yang berlumuran darah, selain meminta orang ramai mendoakannya diberi kekuatan menempuh dugaan besar.
“Rasanya jiwa saya dah rabak, hati remuk. Saya tahu Allah tengah hulurkan tangan buat saya untuk keluar daripada penderitaan, hubungan dan keluarga toksik ini.
“Mohon doakan saya dan anak-anak kuat. Kami nak berjaya lalui ujian Allah ini dengan cemerlang, insya-Allah.
“Saya takkan pernah lupa semua yang mendoakan saya dan anak-anak dengan doa yang baik, terima kasih,” katanya.
Pada awal Khamis minggu lalu, Shuhada ditumbuk sebanyak tiga kali oleh Hafidz di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pelakon itu sudah ditahan sekitar pukul 12 tengah hari semalam ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Bagaimanapun, dia dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama. – KOSMO! ONLINE