SEKITAR tahun 1920, heboh mengenai kisah seorang lelaki bernama Edward Leedskalnin yang mencipta taman batunya sendiri di Florida, Amerika Syarikat.
Taman batunya itu turut menjadi keajaiban dunia apabila dikatakan hanya Leedskalnin seorang yang membinanya tanpa bantuan orang atau kepakaran lain.
Lebih memeranjatkan, ukiran batu-batu tersebut bukanlah ringan seperti yang disangka.
Berat kesemua batu-batu itu hampir 1,300 tan dan hanya dilakukan pada waktu malam, sedangkan berat badan Leedskalnin sekitar 45 kilogram (kg) sahaja.
Menyorot kembali, Leedskalnin yang lahir pada tahun 1887 di Riga, Latvia itu kecewa dan membawa diri ke Florida ketika berusia 26 tahun selepas tunangnya meninggalkan dia sehari sebelum berkahwin.
Berbekalkan minat dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan elektrik serta elektromagnetik, Leedskalnin mula membina taman batu di sebuah lot tanah yang dibelinya.
Mengikut ahli sejarah dan tamadun tempatan di sana, ramai orang tertanya-tanya cara Leedskalnin membuat taman batu tersebut secara seorang diri.
Ketika itu, Leedskalnin hanya menjawab: ‘Senang sahaja. Rahsianya adalah kita kena tahu cara hendak membinanya.’
Leedskalnin juga ada menceritakan serba sedikit menerusi buku hasil tulisannya, Magnet Current pada 1945.
“Naskhah itu menerangkan secara umum bagaimana pengetahuan dalam bidang hukum magnet dan elektrik telah membolehkannya membina istana tersebut,” kata seorang pakar.
Menurut pakar lagi, apa yang menimbulkan misteri adalah Leedskalnin hanya bekerja pada waktu malam dan ramai cuba mengintipnya tetapi tidak berjaya.
“Ramai orang cuba mengintip Leedskalnin membina istana batu ini, tetapi lelaki itu seakan mempunyai pancaindera keenam.
“Dia akan berhenti jika ada orang yang mengintipnya. Dia hanya menyambung kerja selepas tiada sesiapa yang memperhatikannya.
“Pun begitu, ada beberapa orang yang mendakwa pernah melihat sekali imbas Leedskalnin bekerja.
“Mereka mendakwa telah melihat batu-batu itu bergerak dengan sendirinya.
“Ada juga yang melihat Leedskalnin menyanyi ke arah batu tersebut sambil meletakkan tangan pada permukaannya sebelum batu-batu itu bergerak perlahan-lahan.
“Tidak kurang juga yang mendakwa melihat ketulan batu-batu besar itu terapung seperti belon dan bergerak ke tempat diarahkan oleh Leedskalnin,” katanya lagi.
Setelah beberapa tahun menyiapkannya, Leedskalnin mula membuka taman batunya yang dikenali sebagai Rock Gate Park secara rasmi dengan mengenakan caj 10 sen kepada pengunjung yang mahu melihat secara dekat hasil ukirannya itu.
Antara yang paling mengagumkan pengunjung adalah sebatang tiang batu seberat lebih 30 tan.
Tiang batu itu dua kali ganda lebih berat daripada batu piramid setinggi 13 meter yang diambil dan dipotong sendiri oleh Leedskalnin.
Dia juga akan membawa para pengunjung melihat sebuah kerusi goyang dibuat daripada seketul batu seberat tiga tan yang dipotong dan diukir sendiri.
Kerusi batu itu boleh digerakkan dengan hanya menggunakan sebatang jari. Mereka juga dibawa oleh Leedskalnin melihat tangga bulat yang diukirnya menggunakan seketul batu serta meja batu seberat 2,200kg.
Leedskalnin juga membina sebuah menara cerap setinggi lapan meter yang menghadap ke arah bintang utara.
Turut dibina adalah replika bulan penuh dan bulan sabit. Malah, dia mengukir batu membentuk planet Marikh dan Zuhal yang disusun atur secara astronomikal.
Pada pertengahan 1930-an, sekumpulan samseng telah menyerang Leedskalnin hingga cedera.
Dia kemudian memindahkan taman batunya dari Florida ke Homestead iaitu kira-kira 10 kilometer dari tempat asalnya.
“Di Homestead, dia telah membeli tanah seluas empat hektar untuk dijadikan kediaman dan lokasi baharu binaannya itu.
“Leedskalnin mengambil masa selama tiga tahun untuk memindahkan istana batunya itu,” katanya.
Pada Disember 1951, Leedskalnin dipercayai meninggal dunia selepas enam hari dimasukkan ke wad akibat kanser perut.
Selepas ketiadaan Leedskalnin, anak saudaranya mewarisi tanahnya termasuk binaan ajaib itu.
Setelah beberapa kali bertukar tangan, kini binaan hebat Leedskalnin berada di bawah jagaan National Register of Historic Places.
Nama Rock Gate ditukar kepada Coral Castle pada tahun 2011 dan kini ia menjadi salah satu lokasi tumpuan pelancong.