fbpx

Bayi usia seminggu penghuni termuda PPS di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURAINI dan suaminya, Muhamad Nasharuddin bersama tiga anak mereka termasuk bayi baru lahir ketika ditemui di PPS IKTBN Pagoh, Muar semalam. – NUR ALINA HASSAN

MUAR – Seorang bayi lelaki berusia seminggu menjadi ­penghuni termuda di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Pagoh, di sini.

Nuraini Azira Basuri, 23, berkata, anak ketiga yang masih belum diberi nama itu dilahirkan pada 26 Februari lalu di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini.

Menurutnya, ketika diarahkan berpindah Rabu lalu, dia berasa berat hati disebabkan keadaannya yang belum sembuh dan masih berpantang.

“Pada pukul 6.30 pagi (Rabu), ibu beritahu rumah dinaiki air, kemungkinan besar kami perlu berpindah.

“Saya berasa berat hati hendak tinggal di PPS, tetapi apakan daya ketua kampung buat hebahan minta penduduk bersedia kerana PPS sudah dibuka,” katanya ketika ditemui semalam.

Nuraini berkata, dia mengharapkan suami, Muhamad Nasharuddin Othman, 28, untuk menyediakan kelengkapan untuknya dan tiga anak mereka termasuk bayi baru lahir.

“Sepanjang di PPS memang sukar sebab tandas jauh, malah rutin pemeriksaan bayi di klinik juga terpaksa berpindah dari Lenga ke Pagoh.

“Demi keselamatan, saya reda dan ia akan menjadi pe­ngalaman yang takkan dilupakan seumur hidup,” katanya yang bercadang mendaftar kelahiran bayinya itu selepas banjir surut.

Sementara itu, di Kota Tinggi, seorang penduduk Kampung Tembioh sanggup meredah banjir sejauh enam kilometer dengan menunggang basikal untuk membeli stok makanan selepas jalan utama dinaiki air sejak empat hari lalu.

Junaidi Hashim, 41, berkata, kawasan kampung itu mudah dinaiki air termasuk ketika air pasang. Sebelum ini, dia sudah menyediakan stok makanan, namun bekalan makin berkurangan dan terpaksa keluar ke pasar raya berdekatan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI