PETALING JAYA – Kasih sayang seorang bapa saudara yang sanggup mendukung anak saudaranya ke pelamin telah meruntun hati ramai pengguna media sosial hari ini.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @oohlysa di akaun TikToknya, menunjukkan keadaan rumah pengantin perempuan di Kuala Rompin, Pahang telah dinaiki air sehingga ke depan pintu rumah.
Bapa saudara kemudiannya mendukung pengantin perempuan dalam keadaan banjir dan hujan lebat ke pelamin perkahwinan.
Difahamkan ayah pengantin perempuan telah pun dijemput Ilahi dua tahun lepas.
Sehingga kini video tersebut telah mendapat tiga juta tontonan, 448,600 tanda suka dan 21,100 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen, ramai yang sebak dan terharu melihat kasih sayang bapa saudara pengantin tersebut dalam memastikan majlis anak saudaranya berjalan dengan lancar.
“Sebenarnya segarang-garang ayah kita semua, tapi dalam hati dia tetap ada taman tau.. untuk anak lelaki, ayah ibarat kawan yang setia untuk anak perempuannya,” komen Najmi.
“Lagi sebak bila terfikir, ayah yang dah tua masih kuat boleh dukung kita lagi,” komen Azmil pula.
“Saya tidak membesar dengan kasih sayang ayah tetapi bila tengok orang lain dapat kasih sayang ayah selalu paling menyentuh hati,” komen pengguna yang lain. – KOSMO! ONLINE