RIO DE JANEIRO, BRAZIL – Tindakan kerajaan Brazil yang membenarkan dua kapal perang Iran berlabuh di perairan negara itu mencetuskan keresahan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel yang menyelar tindakan Brasilia, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Menurut akhbar New York Post, salah sebuah kapal perang tersebut dilihat berlabuh di luar pantai zon selatan Rio de Janeiro manakala sebuah lagi berlabuh di kawasan pusat bandar.
Jurucakap Kementerian Hubungan Luar Israel, Lior Haiat menerusi kenyataan di Twitter berkata, Tel Aviv melihat tindakan itu sebagai berbahaya dan perkembangan yang dikesali.
“Brazil tidak sepatutnya memberi kebenaran kepada negara yang ‘jahat’,” ujarnya.
Komen itu dikeluarkan beberapa hari selepas jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price memberitahu bahawa Washington sedang berbincang mengenai isu berkenaan dengan Brasilia.
Menurutnya, AS mahu memastikan Iran tidak dapat bertapak atau mengambil kesempatan terhadap negara lain di rantau tersebut.
Kapal IRIS Makran dan IRIS Dena diberi kebenaran untuk berada di Rio de Janeiro sehingga semalam.
Jabatan Pejabat Perbendaharaan AS bagi Kawalan Aset Luar pada bulan lepas menetapkan kedua-dua kapal perang itu di bawah sekatan.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Brazil diminta oleh agensi berita Associated Press untuk memberikan komen mengenai perkara itu namun, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan. – Agensi