fbpx

Anak sakit mental angkara penuhi ‘nafsu’ boros ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QILA berasa tertekan kerana terpaksa menanggung hutang yang banyak. – Gambar hiasan

SEBAGAI seorang anak, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menghormati dan mendengar kata ibu bapa yang merupakan insan penting dalam mendidik serta membesarkan kita dengan penuh kasih sayang.

Namun, ibu bapa juga adalah manusia biasa yang pastinya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Bagi Qila (bukan nama sebenar), apa yang berlaku dalam hidupnya ketika ini adalah disebabkan dia terlalu mengikut telunjuk dan kehendak ibu bapa.

Gadis itu terpaksa menanggung derita sebelum disahkan menghidap penyakit mental akibat tekanan yang melampau sejak kecil.

Wanita berusia lewat 20-an itu berkata, dia bukan sahaja menderita penyakit mental, malah terpaksa menanggung hutang yang banyak kerana ibu bapanya sendiri.

Cerita Qila, dia dibesarkan dalam sebuah keluarga yang agak susah dan sepanjang hidupnya mereka menetap di sebuah kawasan perumahan kos rendah di pinggir ibu kota.

Bapanya merupakan bekas pekerja swasta, namun disebabkan masalah disiplin, dia kerap bertukar tempat kerja,

Situasi ini menyebabkan kehidupan Qila dan keluarganya boleh dikatakan terumbang-ambing memandangkan bapanya tidak pernah mempunyai pendapatan stabil.

Malah, bapanya pernah menjalin hubungan dengan seorang wanita muda yang dikenalinya di tempat kerja.

Ini membuatkan lelaki itu semakin mengabaikan keluarga dan tidak pernah dihormati Qila.

“Saya dan dua orang adik memang sayangkan bapa. Namun, sikapnya yang menjengkelkan itu telah menyebabkan keluarga kami hidup susah selama bertahun-tahun.

“Bapa juga menyebabkan ibu saya sering berada dalam keadaan tertekan.

“Akibatnya, kami selalu menjadi mangsa kemarahan ibu yang tidak bahagia dengan kehidupannya.

“Disebabkan itu, saya dan adik-adik juga tidak pernah bahagia,” ujarnya.

Qila yang merupakan seorang pelajar pintar terpilih untuk menerima biasiswa bagi melanjutkan pengajian di sebuah universiti terkemuka tanah air.

Ibu Qila mempunyai sikap boros yang melampau.
– Gambar hiasan

Sangkanya, dia boleh menarik nafas lega apabila keluar daripada rumahnya yang begitu menyeksakan itu.

Bagaimanapun, Qila dipaksa memasukkan wang biasiswa ke dalam akaun ibunya bagi menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga.

“Pada mulanya, saya agak berat hati memandangkan biasiswa yang saya terima bukanlah banyak mana.

“Saya memerlukan wang yang banyak untuk diri sendiri, namun ibu berkeras meminta saya untuk memasukkan wang kepadanya memandangkan ayah sudah lepas tangan.

“Sudahnya, baki yang ada pada saya hanya cukup-cukup makan. Ini menyebabkan saya berasa amat sedih,” jelas Qila.

Lebih menyakitkan hati, Qila menyangka wang tersebut digunakan ibunya untuk membiayai persekolahan adik-adik.

Sebaliknya, ibu Qila menggunakan wang yang diterimanya itu untuk membeli barangan peribadi seperti baju baharu dan barang keperluan peribadi.

“Saya sedih kerana wang yang saya terima itu untuk kegunaan belajar.

“Namun, wang itu digunakan oleh ibu sewenang-wenangnya untuk memenuhi kehendaknya.

“Pada saya, ia tidak masuk akal. Saya bukan berkira, namun ibu amat tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Perkara itu berlanjutan sehinggalah Qila menamatkan pengajian dan diterima bekerja di sebuah syarikat swasta di Selangor.

Gaji permulaan Qila tidaklah sebesar mana, tetapi ibunya sudah minta dibelikan macam-macam barang seperti tas tangan baharu.

Katanya, ibu mahu melepas geram kerana sepanjang hayatnya hidup susah dan tidak pernah memiliki barangan berjenama.

“Oleh kerana sikap bapa, ibu menekan saya pula untuk memenuhi kehidupan yang diimpikannya.

“Sudahnya, saya yang tertekan dan terpaksa menanggung hutang.

“Ibu juga paksa saya buat pinjaman peribadi kerana mahu menunaikan umrah tiga tahun lalu,” kata Qila.

Setiap hari, Qila terpaksa mengikat perut dan tidak keluar makan bersama rakan-rakannya kerana bimbang wang yang ada tidak cukup untuk kegunaan ibunya.

Ibu Qila pula terus-terusan minta dibelikan macam-macam seperti sebuah apartmen baharu di tengah ibu kota kerana sudah bosan tinggal di rumah kos rendah.

“Saya sejujurnya sudah tidak tahan dengan sikap ibu.

“Saya juga disahkan oleh pakar psikiatri telah mengalami kemurungan akibat tekanan yang berpanjangan.

“Namun, ibu tetap tidak berubah dan menyalahkan saya.

“Dia menuduh saya tidak pandai mengawal tekanan,” ujarnya.

Kini, Qila hanya mampu berharap agar ibunya itu berubah dan sedar bahawa dia yang menjadi punca kepada tekanan serta penderitaan yang dialaminya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI