fbpx

Tidak masuk akal bayar ratusan ringgit untuk bufet Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HIDANGAN kambing golek sering menjadi makanan tumpuan di mana-mana bufet Ramadan kerana ia jarang didapati pada bulan-bulan lain.

PETALING JAYA – Orang ramai lebih memilih untuk berbuka puasa di rumah berban­ding menghabiskan duit untuk menikmati juadah di hotel atau restoran yang menawarkan bufet Ramadan ketika masing-masing berdepan dengan kegawatan ekonomi.

Bagi mereka, duit yang dibayar untuk bufet Ramadan boleh digunakan membeli juadah berbuka di bazar atau kedai biasa bagi tempoh dua atau tiga hari.

Di Ipoh, seorang jurutera, Mohd. Hasby Ameen, 41, berkata, kos bufet Ramadan boleh meningkat mengikut lokasi yang biasanya bermula pada harga RM59 seorang.

“Jika di hotel harganya antara RM129 hingga RM189 atau lebih. Lebih baik wang itu digunakan untuk beli juadah atau masak sendiri di rumah kerana kos akan naik jika bawa ahli keluarga,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan, pengusaha hotel di negara ini semakin rancak mengatur strategi termasuk ‘berperang’ promosi bufet Ramadan bagi menarik lebih ramai pelanggan menjelang Ramadan.

Bagi Zuraida Hanum Suraidi, 36, pula, dia tak terfikir langsung untuk berbuka di hotel kerana kos sara hidup semakin meningkat.

“Tak masuk akal hendak bayar ratusan ringgit. Banyak mana kita boleh makan dan lebih baik duit itu digunakan untuk beli barang dapur. Orang lain nak pergi, silakan tapi ia bukan agenda keluarga saya,” katanya.

Bagi Nur Hanifah Azlan, 39, dia pernah berbuka di hotel, namun mendapati ia sebenarnya satu pembaziran.

“Ramai pergi bukan untuk makan banyak tetapi sekadar mahu cuba. Kali ini saya mahu berbuka di rumah atau beli di bazar sahaja,” katanya.

Di Kuantan, perunding hartanah, Ahmad Fahmi Jusoh, 37, berkata, bulan puasa bukan pesta makanan dan perlu menjauhi amalan membazir.

“Tak salah makan di luar tetapi biarlah berpada-pada. Saya lebih selesa berbuka di rumah bersama keluarga kerana ia lebih bermakna dan menjimatkan.

“Saya makan di luar jika ada undangan sahaja sebab ia percuma,” katanya.

Airi Syam Mustapa, 37, pula memberitahu, dalam situasi ekonomi yang baru kembali stabil, umat Islam seharusnya lebih berjimat dalam berbelanja.

Tambahan pula ujarnya, pada awal sambutan Ramadan, ada ibu bapa yang perlu menyediakan perbelanjaan bagi sesi persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi.

Di Sungai Petani, penjawat awam, Noor Hafizah Abd. Manaf, 33, berkata, dia lebih suka memasak sendiri juadah kerana lebih menepati citarasa keluarga.

“Jika tak sempat, saya akan beli di bazar sahaja. Makan di hotel perlukan modal besar,” katanya.
Berbeza dengan peniaga, Muhamad Abdul Rashid, 33, yang akan pergi berbuka sekali di hotel untuk menikmati pelbagai hidangan yang sukar didapati pada bulan lain.

“Berbuka di rumah seme­mangnya lebih menjimatkan, namun Ramadan hanya setahun sekali jadi saya luangkan masa berbuka di hotel kerana ada kambong golek dan kuih tradisional,” katanya.

Di George Town, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, N.V. Subbarow menasihati orang ramai supaya berjimat dan elak pembaziran sepanjang Ramadan.

“Ukur baju di badan sendiri dan jangan ghairah ikut nafsu. Tak salah makan di hotel atau rumah tetapi mesti berhemah,” katanya.

Subbarow pada masa sama meminta pihak hotel supaya menetapkan kadar harga yang berpatutan dan mampu milik supaya tidak melakukan peng­aniayaan kepada pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI