KUALA TERENGGANU – Rakyat Terengganu daripada pelbagai latar belakang merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena ulang tahun Hari Pertabalan baginda hari ini.
Selain menzahirkan ucapan tahniah, rakyat turut mengutuskan doa buat baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah agar pemerintahan baginda berdua sentiasa berjalan lancar, aman dan sejahtera.
Seorang kakitangan awam, Mohd. Muizzuddin Abdullah, 31, berkata, meskipun bertugas jauh di selatan tanah air, dia sentiasa mengikuti perkembangan semasa Terengganu dan mengakui kagum dengan kebijaksanaan pemerintahan Sultan Mizan selama ini.
Menurutnya, penglibatan aktif baginda dalam arena sukan terutama sukan lumba kuda lasak perlu dicontohi oleh rakyat jelata bagi mengamalkan gaya hidup sihat.
“Kejayaan baginda meraih pingat emas dan mencipta rekod baharu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara sukan kuda lasak kategori individu sangat membanggakan rakyat jelata.
“Kejayaan itu mengajar kita erti pengorbanan, usaha berterusan dan semangat berkumpulan pasti akan memberi kecemerlangan dalam apa sahaja bidang yang diceburi,” katanya kepada Kosmo!.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/03/2nd-leads.jpg)
Mohd. Muizzuddin berkata, kegemilangan sukan kuda lasak juga berjaya mengangkat Terengganu sebagai salah satu lokasi kejohanan bertaraf dunia dan menjadikan Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong, Setiu popular di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, peniaga restoran, Nor Fatihah Che Mamad, 30, pula mendoakan agar Sultan Mizan sentiasa diberikan rahmah dan afiah untuk terus memerintah dengan adil dan bijaksana demi kebaikan rakyat seluruh negeri.
“Semoga negeri Terengganu ini terus dipayungi keamanan dan kemakmuran dan kekal di bawah panji pemerintahan baginda.
“Saya juga berharap agar sektor ekonomi negeri ini terus berkembang pesat dan menjadikan Terengganu sebagai salah satu destinasi pilihan pelabur demi membantu ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Usahawan belia, Muhammad Shohimil Hafizz Salleh, 28, pula berkata, keprihatinan baginda serta semua anakanda yang sering menyantuni rakyat jelata terutama ketika dilanda musibah sangat disanjung tinggi.
“Boleh dikatakan kelibat anakanda Sultan Mizan akan kelihatan di mana-mana pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menyampaikan kurnia kepada rakyat yang sedang ditimpa musibah.
“Saya juga mengagumi keprihatinan baginda yang tidak lupa kebajikan golongan ibu tunggal, anak yatim dan orang miskin terutama pada bulan Ramadan dan Syawal,” katanya.