fbpx

Rezeki patin 14.49 kg dinobat juara memancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hakim sibuk melayan peserta menimbang pelbagai spesies ikan yang berjaya dinaikkan oleh kaki pancing.

SEORANG penghantar makanan dinobatkan sebagai juara Cabaran Joran Kuala Lumpur 2023 yang diadakan di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mohamed Juraimy Ahmad, 42, dari Senawang, Negeri Sembilan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 selepas berjaya menaikkan seekor ikan patin seberat 14.49 kilogram (kg) kira-kira pukul 11.43 pagi.

Dia menyifatkan tuah buatnya menggunakan roti kosong sebelum disambar patin yang memaksanya mengambil masa lebih 10 minit bagi menaikkan ikan tersebut.

Katanya, dia selalu mengikuti pertandingan memancing anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak dahulu lagi.

Jelasnya, dia tidak pernah patah semangat walaupun acap kali kecundang dan kali ini rezeki berpihak kepadanya.

“Ini sudah rezeki saya dan wang kemenangan ini akan digunakan untuk membeli peralatan kelengkapan joran sebagai persediaan menyertai pertandingan memancing lagi,” ujarnya.

Hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan Kesenian Pelancongan dan Sukan, DBKL, Khairul Azmir Ahmad serta Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan

Kesenian Pelancongan dan Sukan, DBKL, Izwan Razif Salehaped.

Cabaran Joran Kuala Lumpur 2023 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 kepada pemancing yang berjaya mendaratkan ikan.

Pertandingan anjuran DBKL itu merupakan salah satu acara yang disediakan kepada warga kota sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 bertemakan Wilayah Persekutuan Untuk Semua.

Pertandingan itu menyaksikan sebanyak 565 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan oleh peserta.

KHAIRUL AZMIR (empat dari kiri) menyampaikan hadiah kepada para pemenang Cabaran Joran Kuala Lumpur 2023 yang diadakan di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tempat kedua dimenangi oleh Mohd. Khairil Janudin, 33, dari Ampang, Selangor apabila berjaya menaikkan patin seberat 13.76 kg.

Dia menerima hadiah wang tunai RM2,000, manakala tempat ketiga menjadi milik Shamsul Ahamad, 38, dari Cyberjaya yang menaikkan patin seberat 12.35 kg dan membawa pulang RM1,000.

Sementara itu, Cabaran Joran Kuala Lumpur 2023 itu disertai hampir 900 kaki pancing dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Dalam pada itu, Khairul Azmir berkata, Cabaran Joran Kuala Lumpur diadakan bagi memberi manfaat kepada masyarakat melalui pertandingan memancing.

“Objektif utama pertandingan ini adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat bersantai, beriadah sambil mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga kota,” katanya.

“Saya sangat berpuas hati apabila acara ini mendapat sambutan yang sangat baik dan disertai oleh pelbagai bangsa dan usia.

“Malah, peserta wanita tidak kurang hebatnya apabila sama-sama menyertai pertandingan memancing ini,” jelasnya.

Berikutan sambutan yang menggalakkan, DBKL merancang untuk mengadakan acara itu sebanyak lima siri pada tahun depan sempena Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur (1972-2022).

Ia akan diadakan pada 1 Februari tahun depan bagi memperingati ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia pada 1972.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI