PETALING JAYA – Rata-rata orang ramai menggesa agar wujud larangan bermain lato-lato di dalam pusat beli belah ekoran mengganggu ketenangan para pekerja mahupun pelanggan yang datang membeli selain berisiko berlaku kemalangan dan kecederaan.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, ramai pengguna berkongsi pengalaman dan luahan mereka apabila merasa terganggu dengan bunyi yang dihasilkan dari permainan lato-lato.
Pengguna Facebook, Nur Fatini Abdullah, memuat naik video memaparkan tindakan tiga orang kanak-kanak bermain lato-lato ketika mengikuti ibu bapa mereka berjalan-jalan di sebuah pusat beli belah.
Bagaimanapun, Nur Fatini menyarankan agar ibu bapa harus lebih peka dengan keselesaan orang sekeliling dengan melarang anak-anak untuk tidak mencetuskan kebisingan melampau di tempat awam.
“Bunyi lato-lato boleh buat gaduh, bingit. Nak main tempat terbuka tiada masalah, jangan la biar anak-anak main dalam mall (pusat beli belah).
“Orang datang nak tenang sambil membeli, bukan kena tadah telinga dengan bunyi bising lato-lato,” pesannya.
Seoang lagi pengguna Facebook, Saudagar Kampung, menyarankan agar larangan bermain lato-lato diwujudkan di semua pusat beli belah, kerana kawasan tersebut adalah tidak sesuai untuk mempamerkan aksi dan kehebatan bermain permainan viral itu.
“Wujudkan larangan main lato-lato di pusat beli belah, bukan tempat yang sesuai untuk bermain, buatnya terbaling kena pintu-pintu kaca yang ada, kan satu masalah lain timbul.
“Selain itu, bahaya untuk orang lain, kena anak orang, siapa nak tanggung?,” soalnya dalam satu hantaran. – KOSMO! ONLINE