PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi kerjasama Yayasan Sejahtera (YS) telah melaksanakan program pemulihan pendapatan bagi membantu peniaga kecil di sekitar daerah Sungai Pinang Tumpat Kelantan yang terjejas akibat banjir awal tahun lalu.
PNB dalam kenyataan berkata, seramai 20 peniaga yang menjalankan perniagaan seperti menjual kuih muih tradisional, menjahit, membuat kerisik, membuat arang dan mengusahakan gerai makan menyertai program tersebut yang diselaraskan Pejabat Penggawa Sungai Pinang.
“Para peniaga ini telah mengikuti sesi perkongsian ilmu dalam bidang keusahawanan seperti pengurusan kewangan operasi, pemasaran, teknologi maklumat dan motivasi supaya perniagaan mereka mejadi lebih mampan untuk jangka masa panjang.
“Ini sejajar dengan komitmen kelestarian PNB iaitu mengimbangi keuntungan dan pelaburan sosial, terutamanya komitmen syarikat untuk menaja pendidikan, peningkatan komuniti, literasi kewangan dan inisiatif perkongsian pengetahuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, PNB juga menyediakan bantuan peralatan mengikut keperluan perniagaan masing-masing seperti mesin pengadun tepung, dapur, peti sejuk beku, ketuhar dan mesin perah santan.
Salah seorang peserta, Sarimah Yaacob, 40, berkata, dia telah menjalankan perniagaan kuih kapit sejak 17 tahun lalu bagi menyara keluarga selain menjaga suaminya yang kini menghidap sawan kronik.
“Inilah sumber pendapatan utama saya untuk meneruskan kehidupan dan perbelanjaan sekolah anak-anak. Saya sedang cuba membesarkan lagi perniagaan kuih kapit saya dengan bantuan yang saya terima,” katanya.
Bagi Mahani Yusof, 47, dia meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk terus menambah kemahiran serta meningkatkan mutu perniagaannya melalui program terbabit.
“Dengan bantuan ini dapatlah saya memajukan perniagaan kerisik dan kelapa goreng saya terutamanya pada masa sekarang dengan keadaan suami yang mengalami strok,” ujarnya.
Selain itu, pengusaha kedai makan Che Mohd. Khairul Che Ismail, 39, mengucapkan terima kasih kepada pihak PNB kerana terpilih untuk menyertai program berkenaan.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak PNB. Kini, saya dapat memajukan kedai makan yang sebelum ini terjejas akibat banjir,” jelasnya.
Justeru, PNB berharap agar program tersebut dapat memberi impak positif jangka panjang terhadap perniagaan dan individu yang terjejas.
“Semoga para peniaga yang terkesan akibat banjir ini akan dapat memanfaatkan kemahiran yang diterima serta terus bangkit memperbaiki taraf kehidupan masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE