WASHINGTON – Sepasang pengantin baharu di Amerika Syarikat (AS) kerugian lebih AS$27,000 (RM120,852) selepas lebih separuh daripada tetamu yang diundang tidak menghadiri majlis perkahwinan mereka, lapor portal berita MailOnline semalam.
Remaja transgender berusia 18 tahun, Grey Narvaez-Dragion memuat naik sebuah klip video yang memaparkan situasi beberapa meja kosong tanpa kehadiran tetamu.
“88 orang berkata ya (hadir) namun, tidak sampai 40 orang yang muncul,” demikian menurut kapsyen video tersebut.
Klip video tersebut mendapat perhatian orang ramai yang meluahkan ketidakpuasan hati mereka mengenai kejadian tersebut.
“Jika anda tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan, beritahu tuan rumah. Tidak mengapa. Mereka boleh menjimatkan wang untuk makanan jika diberitahu awal. Jangan menipu,” komen seorang netizen.
Oleh kerana hanya sedikit tetamu yang hadir di majlis tersebut, pasangan itu terpaksa membatalkan beberapa acara termasuk tarian, makan malam dan memendekkan tempoh majlis.
Selepas majlis tamat, Grey duduk bersama suaminya, Nyx di dalam dewan yang kosong dan menangis. – Agensi