PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa kaum Melayu akan hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali pilihan raya umum (PRU).
Peringatan keras itu disuarakan beliau ekoran suasana politik ketika ini yang menurutnya, kekuatan dominan bangsa pribumi tersebut semakin teruk terhakis setelah PRU15.
“Penguasaan ekonomi sudah lama tiada dan sekarang kuasa politik, saya berpendapat PRU16 dan PRU17 nanti keadaan negara akan lebih buruk,” katanya pada sidang media di auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau ketika berucap sebagai ahli panel Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang? menyuarakan kerisauan mengenai trend pengaruh politik Melayu yang semakin lenyap.
Mahathir, 97, turut kecewa kerana politik Melayu pada ketika ini teruk diselubungi rasuah termasuk gejala pembelian undi oleh ejen parti tertentu untuk menang dengan cara kotor. – KOSMO! ONLINE