JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat dengan seramai 37,322 mangsa kini ditempatkan di 238 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di seluruh Johor, setakat pukul 8 pagi, hari ini.
Situasi dilihat semakin membimbangkan apabila mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan berbanding 34,849 mangsa di 225 PPS, pukul 8 malam, semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah mangsa terkini itu terdiri daripada sebanyak 10,793 buah keluarga dan daerah Segamat paling ramai mangsa iaitu kira-kira 13,358.
“Ini diikuti daerah Batu Pahat (7,368); Kluang (5,288); Muar (3,330); Kota Tinggi (3,292); Tangkak (2,661); Mersing (964); Johor Bahru (699) dan Pontian (362). Sementara itu, PPS yang dibuka di Kulai sebelum ini telah ditutup,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Azmi lagi, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pula menunjukkan sebahagian besar negeri ini berada di bawah amaran buruk untuk amaran hujan berterusan, manakala Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian pula menunjukkan amaran waspada.
“Sementara itu, sebanyak 16 sungai turut diletakkan bawah kategori paras air berbahaya antaranya Sungai Gemas, Sungai Muar, Sungai Tangkak, Sungai Kesang, Sungai Bekok dan Sungai Kahang dan Sungai Johor,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, 40 laluan telah ditutup untuk semua jenis kenderaan di negeri ini antaranya Jalan Felda Kemelah; Jalan Felda Pemanis; Jalan Johor Bahru-Endau; Jalan Masai Lama; Felda Medoi; Jalan Johor Bahru-Seremban; Jalan Senai-Gemas dan Jalan Muar-Tangkak.-KOSMO! ONLINE