JERANTUT – Gelombang baharu banjir yang melanda negara termasuk di Pahang tidak menjejaskan kehadiran pelancong apabila purata sebanyak 200 pelancong luar negara direkodkan mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan di sini setiap hari.
Malah, keadaan banjir dan limpahan air sungai yang deras bagaikan tarikan kepada pelancong untuk melihat dan merakam fenomena berkenaan.
Difahamkan, selain pelancong luar, kira-kira 500 pelancong domestik direkodkan mengunjungi taman peranginan hutan tropika itu termasuk melawat ke perkampungan Melayu Kuala Sat dan Kampung Bantal di Ulu Tembeling.
Seorang pengusaha Pusat Inap Desa Tahan Guest House, Kuala Tahan, Norhasiyati Taharin, 56, berkata, kenaikan paras air Sungai Tembeling sejak tiga hari lalu tidak menjejaskan kehadiran pelancong luar ke situ dengan hanya segelintir yang membatalkan tempahan pusat inapnya.
“Malah, saya lihat pelancong Mat Salih (negara Barat) lebih teruja menikmati suasana kenaikan paras air Sungai Tembeling dan arus deras serta membuat rakaman kamera melalui telefon bimbit dan sesetengahnya membuat catatan peribadi.
“Restoran terapung terus menjadi tumpuan pelancong luar untuk menikmati makanan kampung dan melihat suasana alam sekitar di pinggir Sungai Tembeling dan kampung kami (Kuala Tahan),” katanya di sini semalam.
Seorang pelancong dikenali sebagai Alice, 30, berkata, dia teruja apabila dapat melihat suasana Sungai Tembeling yang dilimpahi air.
Dalam pada itu, Penyelaras Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim berkata, keadaan air Sungai Tembeling sudah surut semalam, tetapi anggota APM akan terus memantau keadaan di situ, memandangkan cuaca masih tidak menentu.