SANDAKAN – Selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari mengumumkan meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan) Isnin lalu, seorang lagi pemimpin parti itu menyatakan pendirian keluar parti hari ini.
ADUN Karamunting, George Hiew Vun Zin memaklumkan tindakan berkenaan adalah bagi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sekali gus menjadikan beliau ADUN Warisan ke-11 meninggalkan parti berkenaan.
“Kita tidak mahu lagi melihat keadaan politik yang huru-hara dan tidak stabil. Perkara itu mengakibatkan kemajuan dan ekonomi Sabah terbantut termasuklah kawasan Karamunting.
“Hanya dengan kestabilan politik yang utuh kita boleh membawa pembangunan dan perubahan. Ia termasuklah di kawasan Karamunting yang memerlukan pelbagai pembaharuan.
“Demi kesejahteraan rakyat di kawasan Karamunting, saya membuat keputusan untuk menyokong kepimpinan kerajaan perpaduan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menerusi kenyataan sama, George mengucapkan terima kasih kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berikutan peluang yang diberikan kepadanya sebelum ini di dalam arena politik.
Bagaimanapun, katanya kini adalah masa untuk memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian bagi menyatupadukan rakyat Sabah dan menuntut hak-hak yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) – KOSMO! ONLINE