KLUANG – Puluhan kubur di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Baru di sini didapati mendap akibat hujan lebat yang berlaku sejak hari Isnin lalu.
Sehubungan itu, semua waris yang telah mengkebumikan kaum keluarga mereka di tanah perkuburan ini diharapkan dapat datang menziarahi seterusnya membaiki kerosakan pada kubur berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, ada diantara kubur berlaku mendapan sehingga satu kaki dalam dan memerlukan tanah yang banyak untuk menambaknya semula.
Katanya, pihaknya sukar untuk menghubungi setiap waris kubur yang rosak itu kerana tidak mengenali warisnya kerana kebanyakannya bukan penduduk dari kampung ini.
“Bagaimanapun, sekiranya tiada waris yang datang membaiki dalam tempoh terdekat ini, pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menggerakkan satu kerja amal untuk membaiki kerosakan pada kubur yang mendap itu nanti.
“Namun kerja-kerja pembaikan hanya boleh dilakukan selepas keadaan cuaca bertambah baik kerana jika bimbang tanah yang ditambak itu akan dialirkan semula oleh air hujan,”katanya selepas membuat tinjauan hari ini.
Menurut Sharifah Azizah lagi, pihaknya juga bersedia untuk menghulurkan bantuan membekalkan keperluan seperti batu atau pasir sekiranya diperlukan untuk menambak semula kubur yang mendap itu.-KOSMO! ONLINE