PETALING JAYA – Keluarga mangsa kemalangan langgar lari di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) berhampiran Plaza Tol Jalan Duta awal pagi semalam memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai rakaman ‘dashcam’ (kamera papan pemuka) untuk tampil membantu.
Dalam kejadian sekitar pukul 7.30 pagi itu, mangsa Mohd. Fauzan Baseri, 35, bersama isterinya Nur Afiqah Sukardi, 35, yang menaiki motosikal jenis Yamaha FZ dipercayai telah dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna putih ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Menurut abang ipar Nur Afiqah, Muhammad Helmi, 38, kedua-dua ahli keluarganya itu mengalami kecederan parah di bahagian badan, kaki dan tangan serta luka di bibir.
Katanya, dia telah membuat laporan awal tanpa mangsa di Balai Polis Jalan Bandaraya susulan kejadian tersebut.
“Semalam, seperti biasa, adir ipar saya dan suami nak pergi kerja dari Kampung Laksamana di Gombak ke Shah Alam. Tiba-tiba berhampiran Plaza Tol Duta, sebuah kereta Vellfire telah memasuki laluan secara melulu dan melanggar motosikal mereka sebelum lari meninggalkan tempat kejadian.
“Kedua-dua mereka cedera. Biras saya alami kecederaan teruk di kaki, lutut dan tangan serta patah bahu kiri manakala adik ipar patah lengan kiri dan tulang pelvis termasuk luka di tangan, jari kaki dan bibir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jelas Muhammad Helmi, kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan namun adik iparnya telah dipindahkan ke Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur manakala birasnya sudah dibenarkan pulang.
Dalam pada itu, Muhammad Helmi turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap pemandu tersebut yang tidak mahu bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.
“Saya cuma rasa kecewa kepada pemandu berkenaan sebab kalau dia langgar dia ambil tanggungjawab sikit takpalah. Ini kalau apa-apa jadi kepada adik ipar dan suami dia punya nyawa macam mana. Saya tak boleh terimalah sebenarnya.
“Jadi, kepada orang ramai yang nampak kejadian terbabit atau ada rakaman boleh hubungi saya segera di 011-10042331,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE