fbpx

Kaut RM120,000 letak tabung derma di restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAKITANGAN JAIM memeriksa tabung yang diletakkan di premis perniagaan dalam Ops Tanggal di Melaka kelmarin.

MELAKA – Satu sindiket dikesan menggunakan nama madrasah dan tahfiz yang tidak wujud atau tidak lagi beroperasi untuk mengaut keuntungan lebih RM120,000 setahun dengan meletakkan tabung di lokasi tum­puan dan premis perniagaan.

Sindiket itu tidak meletakkan alamat pada tabung wang tersebut, sebaliknya hanya nombor telefon dan gambar madrasah atau tahfiz yang tidak wujud atau sudah ditutup bagi meyakinkan orang ramai untuk bersedekah.

Hasil soal siasat ke atas pemilik premis, mereka memaklumkan ahli sindiket datang secara berseorangan dengan menaiki kereta sebelum meminta kebenaran untuk meletakkan tabung kutipan derma.

Ada antara mereka yang memakai jubah untuk meraih keya­kinan pemilik premis berhubung keperluan madrasah atau pusat tahfiz itu yang kononnya memerlukan dana orang ramai.

Taktik itu bagaimanapun terbongkar selepas Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melakukan operasi Ops Tanggal di sekitar negeri ini kelmarin.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, dalam operasi tidak sampai tiga jam itu, pihaknya mengenal pasti 17 tabung yang diletakkan sindiket terbabit antaranya di restoran, warung, pasar raya dan stesen minyak.

“Dalam operasi itu, daripada 50 tabung yang diperiksa, 17 daripadanya dipercayai diletakkan oleh sindiket. Mereka dikatakan datang mengaut hasil setiap dua minggu.

“Setiap tabung yang dirampas berisi wang sumbangan RM200 sehingga RM300,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, semalam.

Menurut beliau, usaha mengesan pergerakan sindiket tabung derma itu sedang giat dijalankan.

Jelas beliau, pemeriksaan mendapati sindiket terbabit meletakkan tabung derma di seluruh daerah di negeri ini dan tidak menolak kemungkinan menggunakan modus operandi sama di negeri-negeri lain bagi mengaut keuntungan berganda.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat pemilik premis memaklumkan sindiket dikatakan datang secara berseorangan dengan menaiki kereta sebelum meminta kebenaran untuk meletakkan tabung.

“Bagaimanapun pemilik premis tidak mengaku sama ada mereka diberikan komisen dengan membenarkan tabung-tabung diletakkan di premis masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 33 tabung derma lain dirampas kerana menyalahi peraturan di bawah Seksyen 94 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka (Pindaan) 2022.

“Tabung ini tidak sepatutnya ditinggalkan di premis-premis perniagaan, sebaliknya dibawa pemungut itu sendiri dan mereka perlu menunjukkan kad kuasa daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) semasa kutipan dilakukan.

“Mereka juga perlu mengeluarkan resit pembayaran kepada penderma,” katanya.

Justeru, Che Sukri menasihatkan orang ramai supaya menya­lurkan sumbangan menggunakan saluran yang betul termasuk di tabung masjid dan surau di bawah pentadbiran majlis agama Islam negeri masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI