Kata orang, kawan umpama bintang di langit, sentiasa bergemerlapan untuk menjadi peneman di kala suka dan duka.
Kawan juga boleh diumpamakan buih-buih di lautan yang nampak banyak, tetapi apabila kesempitan, kita dibiarkan keseorangan dan kesunyian.
Persoalannya, sejauh mana kita menghargai kawan. Ini kerana, banyak orang yang terpelajar selalu
meminggirkan kawan semasa kecil dan di alam persekolahan yang gagal menempatkan diri ke menara gading dan hanya bekerja biasa-biasa.
Menurut kebanyakan mereka, mempunyai kawan seperti itu tidak ada faedahnya kerana dianggap tidak setaraf, selain pemikiran juga dianggap tidak up to date.
Memang Islam menganjurkan kita untuk memilih kawan daripada kalangan orang baik agar kita pun turut menjadi seperti mereka, namun orang yang tidak terpelajar bukan bererti mempunyai akhlak yang teruk.
Sesungguhnya, kawan yang ada di sekeliling kita sama ada orang berada atau miskin merupakan ujian daripada Yang Maha Kuasa bagi mengetahui sejauh mana kita melayan mereka secara adil.
Seringkali kita terlupa, hidup ini umpama roda, ada masa kita di atas dan ada ketikanya berada di bawah.
Dalam hal ini, seorang rakan penulis pernah berpesan apabila kita berada di atas, jangan pula berlagak sombong dengan menghina kawan yang kurang bernasib baik, sebaliknya melayan mereka dengan baik kerana untung nasib diri pada masa depan hanya Tuhan yang menentukannya.
Tanpa kita sedar, mungkin rakan yang kita pandang sebelah mata pada hari ini akan menolong kita suatu masa nanti.
Seorang rakan pernah menceritakan tentang bagaimana orang yang dia tidak pandang selama ini sudi menolongnya sewaktu dalam kesusahan ketika rakan-rakan sealiran yang selalu keluar bergembira bersamanya memberikan pelbagai alasan.
Katanya, kawannya itu merupakan kenalan semasa di bangku sekolah dan hanya bekerja biasa -biasa, selain cuma mempunyai sebuah motosikal sebagai pengangkutan utamanya.
Ceritanya, pada satu malam, ketika memandu sendirian, keretanya kehabisan petrol di satu lokasi dan dia menghubungi beberapa rakan yang dianggap ‘setia’ untuk membantu. Malangnya, mereka memberikan pelbagai alasan yang boleh dikatakan mengarut.
Entah bagaimana, dia yang dalam keadaan buntu tiba-tiba teringat tentang rakan sekolah yang selama ini disisihkan ekoran tidak ‘sepadan’ untuk berkawan dengannya yang bergaji besar.
Alangkah terkejutnya, selepas dihubungi, kawan tersebut tanpa banyak soal sanggup datang menolongnya mengharungi kegelapan malam.
Sejak itu , dia melayan semua kawan dengan baik dan membuang sifat sombong dalam diri.
Walau siapa pun kita, sentiasa ingat sikap merendah diri tidak akan membuatkan kita rugi. Bak kata pepatah, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.