JOHOR BAHRU – Kos sara hidup yang semakin mencengkam kehidupan rakyat negara ini mendorong rakyat Malaysia memilih untuk berhijrah mencari rezeki di Singapura.
Faktor kedudukan mata wang yang kukuh dan kestabilan politik juga menjadi antara faktor ramai golongan muda memilih untuk berkelana ke negara jiran itu.
Menurut Perunding Kerjaya di Singapura, Najib Halim, ramai pekerja di negara ini terpaksa melakukan lebih daripada satu kerja dan ramai isteri pula membantu mencari nafkah keluarga untuk memperoleh pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan.
“Ketika seluruh negara berdepan cabaran pandemik Covid-19 sebelum ini, negara kita tidak terkecuali dan ramai rakyat kita terpaksa diberhentikan kerja. Selepas memasuki fasa endemik, ramai rakyat kita sukar untuk dapat kerja balik.
“Sejak pintu sempadan Malaysia-Singapura dibuka pada 1 April tahun lalu, ramai yang sertai seminar kami untuk mencari kerja di Singapura. Hampir 30 hingga 40 peratus peserta terdiri daripada golongan profesional, jurutera paling ramai.
“Kebanyakan yang hadir mahu bekerja dalam industri perkilangan kerana kemahiran mereka memang diperlukan di Singapura,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, peluang kenaikkan pangkat yang lebih baik dan tinggi juga menyebabkan ramai rakyat Malaysia mahu bekerja di negara jiran itu.
“Pekerja muda sangat bermotivasi dan bersemangat tinggi untuk mempelajari kemahiran dan pengalaman baharu, jadi mudah untuk mereka naik pangkat,” ujarnya.