fbpx

City pamer dominasi benam Newcastle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Foden meraikan jaringan ketika membantu Manchester City menewaskan Newcastle United 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad sebentar tadi.

MANCHESTER – Manchester City terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Etihad sebentar tadi.

Turun beraksi di laman sendiri, The Citizens membuktikan mereka sebagai pencabar takhta liga apabila menguasai sepenuhnya perlawanan sejak awal permainan menerusi serangan-serangan dilakukan.

Pemain sayap City, Phil Foden meletakkan pasukan itu 1-0 di depan pada minit ke-15 selepas dia berjaya melepasi kawalan beberapa pemain pertahanan Newcastle sebelum menewaskan penjaga gol, Nick Pope.

Gol tersebut nyata membangkitkan semangat pemain-pemain tuan rumah bagi memburu gol kedua perlawanan, namun kedudukan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Newcastle tampil dengan aksi lebih kemas selain memasukkan Alexander Isak, Joe Willock dan Allan Saint-Maximin dalam usaha mereka memburu gol penyamaan.

Dalam keghairahan The Magpies memburu gol penyamaan, kesilapan benteng pertahanan menghukum skuad kendalian Eddie Howe itu apabila membenarkan City ‘membunuh’ semangat juang mereka menerusi gol kedua yang dijaringkan pemain gantian, Bernardo Silva pada minit ke-67.

Walaupun cuba melakukan segala-galanya bagi mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol pada perlawanan tersebut, namun Newcastle terpaksa akur pulang hampa apabila kedudukan 2-0 kekal hingga tamat permainan.

Selepas ini, City memiliki masa lebih kurang seminggu untuk melakukan persiapan sebelum berkunjung ke Selhurst Park bagi membuat perhitungan dengan Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana yang dijadualkan 12 Mac nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI