PEMBENTANGAN Belanjawan 2023 baru-baru ini yang tidak mengumumkan kenaikan gaji bagi penjawat awam nampaknya sedikit sebanyak memberi kesan kepada golongan berkenaan.
Ramai penjawat awam dilihat mengeluh kerana dikatakan gaji mereka masih rendah untuk menampung kos sara hidup dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Bagaimanapun, keluhan penjawat awam itu juga mengundang rasa tidak senang sesetengah pekerja swasta yang menganggap golongan tersebut seolah-olah tidak bersyukur.
Kata mereka, biarpun tidak mendapat kenaikan gaji, penjawat awam masih menerima beberapa ‘kelebihan’ antaranya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri bernilai RM700 dan RM350 buat pesara, serta subsidi yuran taska RM180 sebulan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Boleh dikatakan nampaknya kali ini penjawat awam perlu mengalah dengan situasi kewangan negara yang terpaksa berdepan isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi.
Malah kata Perdana Menteri, sekiranya gaji penjawat awam dinaikkan, perbelanjaan kerajaan akan menjadi defisit daripada 5.6 peratus kepada 6.5 peratus, sedangkan pada ketika ini hutang negara sudah mencecah RM1.5 trilion.
Sebenarnya, ketika ini bukan penjawat awam sahaja yang sedih kerana tiada kenaikan gaji, tetapi ada juga
pekerja swasta yang berdepan situasi sama apabila terdapat syarikat yang mula membuat penjimatan kos sebagi langkah berjaga-jaga dengan keadaan ekonomi yang meruncing.
Menurut Pakar Ekonomi, Prof. Madya Ts. Dr. Anuar Shah Bali Mohamed, kerajaan wajar melihat semula skim gaji penjawat awam berikutan pendapatan rata-rata rakyat kini tidak selari dengan kenaikan harga barang.
“Walaupun ada imbuhan buat penjawat awam, pengurangan cukai pendapatan bagi M40 namun kenaikan harga barang ketika ini tidak bertepatan dengan pendapatan mereka.
“Tambahan pula, kita masih menanti adakah Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan naik. Jika OPR naik, perbelanjaan mereka sebahagian besarnya nanti sudah pasti untuk membayar balik pinjaman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, inisiatif seperti Menu Rahmah bagi meringankan beban rakyat adalah baik, tetapi perlu dilihat sejauh manakah ia boleh bertahan apabila kenaikan harga barang berlaku.
“Kenaikan harga barang ini bukan berlaku dalam negara kita sahaja, di luar negara juga berlaku dan terdapat banyak faktor menyebabkan harga barang naik. Antaranya ialah peperangan antara Ukraine dan Rusia yang semakin kritikal.
“Ia memberi kesan kepada harga barang di negara ini kerana kita banyak bergantung kepada barang import terutamanya makanan.
“Oleh itu, dalam hal ini juga negara perlu mempertingkatkan keluaran dalam negara seperti makanan dan sayur-sayuran,” ujarnya.
Tambah Anuar, bagi sektor swasta pula, kerajaan boleh mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak syarikat bagi mencari jalan agar pekerja swasta juga dapat dibantu.
“Zaman bermewah sudah tiada, rata-rata orang ramai sekarang sudah ubah gaya hidup mereka, ramai bekerja keras demi kelangsungan hidup sahaja.
“Justeru, penting untuk dilihat semula pendapatan rakyat bagi memastikan keseimbangan antara pendapatan dan kos sara hidup yang tinggi sekali gus meringankan beban,” tambahnya.