PETALING JAYA – Ketibaan dua daripada empat ahli kumpulan popular Korea Selatan, Blackpink iaitu Rose dan Jisoo sempena konsert jelajah dunia, Born Pink yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini mencetuskan suasana gamat dengan sorakan sambutan peminat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, malam tadi.
Kemunculan Jisoo dan Rose meraih sorakan gemuruh daripada para peminat setia kumpulan idola tersebut yang setia menanti ketibaan mereka sejak petang semalam.
Bahkan, terdapat juga segelintir peminat yang berlari berkejaran sebelum menyerbu kawasan ketibaan penumpang untuk melihat penyanyi idola mereka di depan mata.
Menerusi beberapa video tular dalam media sosial sejak semalam, kedua-dua bintang popular itu sempat melambai tangan sejurus melihat ratusan peminat yang menyambut ketibaan mereka di KLIA.
Sementara itu, dua lagi ahli kumpulan iaitu Lisa dan Jennie pula dilaporkan tiba di lokasi berbeza iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS) Subang malam tadi.
Peminat fanatik Blackpink turut berkumpul di perkarangan LTSAS sekali gus mencetuskan rasa teruja ditambah dengan sorakan nama pelantun lagu Lalisa berkenaan.
Lisa dilihat tiba dengan memakai baju sejuk berwarna coklat dan lengkap memakai pelitup muka.
Kelibat Jennie bagaimanapun tidak dapat dirakam oleh peminat susulan ketibaannya dikawal ketat dan kenderaan yang membawanya juga turut diiringi oleh kenderaan polis.
Difahamkan, Lisa dan Jennie tiba di Malaysia dengan menaiki jet peribadi.
Sejak semalam, pembeli tiket acara tersebut melahirkan rasa kerisauan terhadap cuaca hujan yang dikhuatiri berlaku pada hari konsert berlangsung.
Selain itu, penganjuran konsert Blackpink juga turut dibantah oleh beberapa golongan agamawan kerana menyifatkan imej dan konsep yang diketengahkan oleh kumpulan tersebut tidak sesuai dengan ajaran agama Islam negara ini. – KOSMO! ONLINE