fbpx

Belum sedia berhijab, takut hati tak tenang – Vanidah Imran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VANIDAH IMRAN

PETALING JAYA – Pelakon Vanidah Imran mengakui masih belum bersedia untuk berhijab kerana bimbang hatinya akan meronta-ronta selepas mengambil keputusan untuk menutup aurat.

Bercakap kepada Kosmo! Online, selebriti berusia 50 tahun itu berkata dia tahu tentang kewajipan sebagai seorang wanita Muslim untuk menutup aurat dan akan ke arah itu (berhijab) apabila tiba waktunya nanti.

“Untuk saya berhijrah (menutup aurat), saya perlu betul-betul yakin. Saya tahu itu merupakan satu tuntutan dan wajib bagi wanita Muslim untuk menutup aurat.

“Tapi saya tidak mahu nanti kalau saya pakai (berhijab), tapi jiwa saya meronta. Itu tiada makna apa-apa. Jadi beri saya belajar dahulu dan mengikut proses sehingga saya benar-benar bersedia untuk berhijrah,” katanya.

Tambah pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir itu, dia percaya dengan aturan Allah SWT dan akan melakukannya (menutup aurat) apabila dirinya sudah bersedia.

Kongsi pelakon yang mesra disapa Vee itu, dia bimbang hatinya akan berbolak-balik selepas melihat beberapa rakan sekeliling yang kembali berubah selepas mengenakan hijab.

“Saya ada kenalan yang sudah memakai hijab selama 12 tahun dan melepaskan semula hijab sebab mengaku itu bukanlah dirinya.

“Jadi saya takut terjadi pada saya. Sebelum jatuh fitnah, beri saya berubah perlahan-lahan. Sekarang apa yang saya mahu lakukan adalah cuba untuk kuatkan jiwa saya dahulu. Beri saya waktu untuk belajar apa yang saya tidak pasti,” katanya.

Dalam pada itu, Vanidah juga diberitahu rakan-rakannya yang sudah kembali kepada fitrah banyak berkongsi perasaan apabila berhijab dalam keadaan hati yang sudah bersedia.

“Ramai rakan-rakan saya yang sudah berhijrah cakap, kalau sudah sampai masa nanti, setiap kali pakai hijab saya tidak akan fikir apa-apa (ikhlas).

“Tapi bila pakai, kemudian hati rasa tidak pasti, ada perasaan mahu buka semula hijab, apa maksudnya? Nanti akan buat hati saya saya tidak tenang. Banyak lagi perkara yang perlu saya belajar. Begitu juga hukumnya,” kata Vanidah ketika ditemui Kosmo! Online di majlis tayangan perdana filem Imam di Istana Budaya, baru-baru ini.

Ketika disoal tentang tanggapan dan penerimaan peminatnya, pelakon berwajah kemelayuan itu bersyukur apabila peminatnya faham dan selalu mendoakan yang terbaik untuk dirinya supaya menjadi wanita Muslimah sejati pada masa akan datang.

“Setakat ini alhamdulillah, tidak ada lagi peminat yang meninggalkan komen-komen menyakitkan hati. Saya pun tidak pernah membalas komen yang kasar kepada mereka.

“Saya terima banyak komen yang baik-baik, mendoakan semoga saya istikamah dan juga berharap saya berhijab suatu hari nanti. Saya hanya mampu balas Insya-Allah itu pasti. Doakan saya,” katanya.

Terdahulu, penampilan Vanidah ketika hadir ke majlis tayangan perdana filem Imam di Istana Budaya pada Selasa lalu mencuri perhatian ramai apabila tampil dalam keadaan berhijab sambil ditemani suaminya, Arifabillah Idris.

Kata Vanidah, dia berhijab ketika menghadiri majlis tayangan perdana itu kerana mahu menghormati majlis selain bersesuaian dengan filem Imam yang berunsurkan keagamaan.

Mengenai pembabitan dalam filem Imam pula, Vanidah berkata, dia membawakan watak sebagai Rubiah, isteri kepada Haji Syamsuri yang dilakonkan oleh Faizal Hussein.

Selain itu, filem Imam turut dibintangi pelakon-pelakon hebat lain seperti Datuk M. Nasir, Datin Natasha Charmaine, Omar Abdullah, Datuk Rahim Razali dan ramai lagi.

Sudah ditayangkan di pawagam sejak 2 Mac lalu, Imam yang diarahkan Mior Hashim Manap merupakan karya adaptasi daripada novel Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain.

Imam mengisahkan perjuangan seorang imam iaitu Haji Mihad yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri.

Namun mendapat tentangan daripada sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa malah saudara-maranya sendiri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI