SEGAMAT – Seorang wanita warga emas ditemui mati lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam longkang di Batu Anam, di sini petang semalam.
Mangsa, A. Fatimah, 69, yang sebelum ini dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) ditemui oleh jirannya yang menyedari kehilangan warga emas itu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian itu sekaligus merekodkan empat kematian akibat banjir dilaporkan di negeri itu iaitu satu di daerah Kluang dan tiga di daerah Segamat.
“Termasuk (kejadian pertama) di Kluang, empat orang telah meninggal dunia dan terbaru adalah pada petang tadi (semalam) yang melibatkan seorang wanita warga emas berusia 69 tahun.
“Mangsa telah pun ditempatkan di PPS, bagaimanapun warga emas ini didapati tiada di PPS tersebut dan jirannya telah keluar mencari dan dijumpai meninggal dunia di longkang,”katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Segamat di sini, malam semalam.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang berkenaan sebelum ditemui lemas dan polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu.
“Jadi saya harap semua mangsa yang ada masalah ataupun mereka yang terkepung oleh air dan sebagainya untuk segera memaklumkan kepada pihak berkuasa kerana mana-mana agensi pun akan berusaha selamatkan mereka dengan segera,”tambahnya.-KOSMO! ONLINE