SEGAMAT – Kerajaan meluluskan peruntukan sekali beri sebanyak RM10 juta kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pembelian aset dan persediaan menghadapi bencana alam banjir pada masa akan datang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peruntukan tersebut diluluskan pada mesyuarat pasca-Kabinet semalam dan antara aset bakal dibeli adalah bot getah dan lori tujuh tan yang boleh memudahkan usaha menyelamat mangsa banjir.
“Sekarang ini ATM menggunakan bot tempur dan kita memerlukan bot getah yang digunakan komando dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Ini adalah persediaan untuk kita menghadapi ancaman bukan tradisi dan melengkapkan aset dalam memberi bantuan menyelamat dalam situasi seperti ini (banjir),” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman (STAR) di sini, hari ini.
Tambah Mohamad, pandangan daripada pihak berkaitan termasuk ATM akan diambil kira bagi mengenal pasti keperluan pembelian aset menghadapi banjir dan penempatan aset di beberapa negeri yang kerap menghadapi banjir seperti Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.
Ujarnya, sebanyak 1,500 anggota tentera dikerah bagi membantu mangsa banjir di Johor melibatkan aset sebanyak 28 bot, lapan lori dan 25 trak termasuk pasukan Kor Perubatan ATM, Kor Jurutera Diraja ATM dan bahagian teknikal.-KOSMO! ONLINE