KUALA LUMPUR – Selepas sembilan tahun membina bahtera perkahwinan, penyanyi Marsha Milan akhirnya membuat keputusan mencuba kaedah rawatan kesuburan In-vitro (IVF) bagi mendapatkan zuriat.
Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh, 38, keputusan melakukan IVF adalah kata sepakat bersama suami, Mohamed Shaiful Nizam tetapi mereka belum mempunyai tarikh untuk mulakan rawatan.
“Saya sudah berkahwin selama sembilan tahun dan ada perancangan untuk melakukan IVF semasa berbincang dengan suami.
“Dia ada cakap boleh mula lakukan selepas Anugerah Juara Lagu tetapi sekarang masih tiada tarikh.
“Sekarang baru nak cuba betul-betul dan alhamdulillah saya sihat sewaktu buat pemeriksaan,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang akhbar kolaborasi Alternate Records Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Meskipun begitu, pelantun lagu Cinta itu tidak meletakkan harapan tinggi untuk melakukan IVF apatah lagi memikirkan soal pengambilan anak angkat.
“Meskipun berikhtiar, kami berserah sahaja tetapi tidak pernah terfikir lagi untuk ambil anak angkat sebab nak cuba IVF dahulu.
“Saya tidak mahu tertekan mengenai perkara ini kerana semuanya rezeki Allah,” ujarnya.
Tambah Marsha, dia sangat terbuka soal pengambilan anak angkat andai benar hidupnya ditakdirkan tiada rezeki zuriat walaupun suaminya menasihati agar tidak berfikiran jauh.
“Kalau Allah kata tunggu, kami perlu reda. Suami pula tidak bagi saya fikir terlalu jauh lebih-lebih lagi soal pengambilan anak angkat.
“Dari pihak saya, saya tidak kisah mengambil anak angkat dan pernah terdetik untuk lakukan perkara tersebut jika tiada rezeki dapat zuriat sendiri,” jelas penyanyi yang dilahirkan di Amerika Syarikat itu.
Meskipun umur masih muda, Marsha mengakui dia tetap berdepan perasaan dilema bagi melakukan IVF memandangkan dia perlu berehat dari karier seninya untuk memberikan fokus terhadap rawatan tersebut.
“Sebenarnya saya dalam dilema untuk berehat semasa melakukan IVF kerana karier sedang meningkat sekarang.
“Suami pun tidak tergesa-gesa kerana kami pun belum tua sangat dan masih ada masa,” tuturnya.
Untuk rekod, Marsha mendirikan rumah tangga bersama seorang usahawan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 2015. – KOSMO! ONLINE