fbpx

400 jemaah kecewa, pakej umrah ditangguh pada saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bakal jemaah umrah berkumpul di pekarangan syarikat agensi pelancongan untuk mendapatkan penjelasan daripada wakil agensi mengenai penangguhan pakej umrah. FOTO ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Hampir 400 jemaah yang bakal menunaikan umrah di Mekah dan Madinah kecewa apabila sebuah agensi pelancongan yang menguruskan pakej mereka menangguhkan perjalanan pada saat-saat akhir.

Rata-rata bakal jemaah mendakwa, agensi pelancongan tersebut memberi alasan bahawa jemaah umrah terdahulu tinggal terlalu lama di Mekah dan penginapan di hotel juga penuh sehingga terpaksa menangguhkan penerbangan jemaah ketika ini.

Nik Dah Yusoff, 76, berkata, dia bersama anak lelaki dan menantu sepatutnya berlepas ke Mekah pada Isnin ini hanya dimaklumkan bahawa penerbangan mereka ditangguhkan pada minggu lalu.

Menurutnya, selepas dimaklumkan penangguhan itu, dia tidak lena tidur hampir setiap malam apabila mengenangkan wang sebanyak RM32,000 yang telah dibayar kepada agensi pelancongan tersebut.

“Saya dimaklumkan mengenai penangguhan penerbangan jemaah pada minggu lalu semasa datang ke pejabat syarikat berkenaan untuk mengambil bagasi.

“Pihak pengurusan agensi itu memaklumkan bahawa ibadah umrah yang diuruskan mereka terpaksa ditangguh dengan memberi alasan jemaah sedia ada berada terlalu lama di Mekah dan semua hotel juga penuh,” katanya ketika ditemui pemberita di depan syarikat agensi pelancongan itu di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 30 bakal jemaah umrah datang ke syarikat itu untuk berjumpa dan meminta penjelasan lanjut daripada pihak pengurusan mengenai keadaan sebenar yang berlaku.

Kebanyakan daripada mereka mahu pihak syarikat berkenaan memulangkan semula bayaran dibuat sebelum ini berikutan penangguhan pakej umrah itu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI